Bagi peminat kelab bola sepak terkenal, Liverpool atau LFC, berada di Anfield memberikan suatu pengalaman yang menakjubkan. Perlawanan antara Liverpool menentang kelab bola sepak Jerman, Borussia Dortmund pada suku akhir kedua Liga Eropah berlangsung pada April 2016 antara yang meninggalkan kenangan manis apabila penyokong kedua pasukan menyanyikan lagu keramat Liverpool, “You’ll Never Walk Alone” sebagai memperingati tragedi Hillsborough yang mengorbankan 96 penyokong ketika aksi perlawanan separuh akhir Piala FA pada tahun 1989.

Menariknya, penyokong kedua pasukan turut menerima anugerah Penyokong Terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) buat pertama kali kerana menunjukkan solidariti menyanyikan lagu tersebut bersama-sama. Dalam perlawanan itu, Dejan Lovren menjadi hero The Reds selepas menjaringkan gol kemenangan yang membawa pasukannya menang dengan agregat, 4-3.

Sebelum perlawanan itu, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memberi semangat pada anak buahnya untuk bermain mencipta kemenangan seperti mana kehebatan pasukan Liverpool ketika memenangi final Liga Juara-Juara di Istanbul pada 25 Mei 2005. Ketika itu, bekas ketua pasukan Steven Gerrard memberi inspirasi pada rakan sepasukan untuk bangkit menewaskan kelab AC Milan selepas ketinggalan 3-0.

Sejarah kemenangan Liverpool pada perlawanan itu tidak mungkin dilupakan peminat fanatik mereka selepas beraksi buat pertama kali pada final piala Eropah dalam tempoh dua dekad termasuk mengalahkan Juventus dan Chelsea. Bagi peminat, Anfield juga meninggalkan pelbagai kenangan yang tidak dilupakan.

Berita baik kepada peminat LFC, syarikat penerbangan Malaysia Airlines mencari penyokong setia LFC dari seluruh dunia yang boleh bermain bola sepak untuk turut serta bersama Malaysia Airlines MH Global Team. Syaratnya cukup mudah iaitu peserta perlu berusia 18 tahun ke atas dan menghantar video pendek berdurasi 60 saat maksimum dengan menyatakan mengapa anda penyokong setia LFC dan kemahiran terbaik bermain bola sepak.

Peserta perlu memuat naik video tersebut di Facebook atau YouKu (China) dan meletakkan 'hashtag' #MalaysiaAirlines #takemetoAnfield kemudian kongsikan video itu di www.malaysiaairlines.com/Anfield serta pastikan anda kongsikan video itu untuk tontonan ramai ‘Public’. Maklumat lanjut boleh layari MH Global Malaysia Airlines.

Berikut 5 memori menarik di Anfield:

1. Semangat kesukanan penyokong

Berbeza ketika zaman 70-an dan 80-an tanpa sebarang piala kemenangan, semangat kesukanan penyokong Liverpool di Anfield sentiasa membuatkan suasana menjadi gamat dan meriah sama ada di dalam mahupun luar stadium. Menariknya, sikap penyokong The Reds ini bukan hanya setia pada pasukan mereka tetapi profesional menyambut pasukan lawan seperti kedatangan pasukan Villarreal ketika pasukan itu berkunjung ke Anfield untuk saingan Liga Eropah pada 5 Mei tahun lalu.

2. Stadium berwajah baru

Pengubahsuaian stadium Anfield membabitkan kawasan tempat duduk utama memberikan lebih keselesaan dan keterujaan pada penyokong The Reds. Ia mula digunakan dalam perlawanan pertama menentang Leicester City pada September tahun lalu yang mencatatkan jumlah penonton tertinggi sejak tahun 1977. LFC juga mengesahkan mereka mempunyai perancangan untuk menambahbaik kemudahan untuk penyokong orang kurang upaya (OKU) pada sesi 2017/2018. Banyak projek lain juga dirancang termasuk bilik persalinan yang baru untuk pemain, kedai dan kafe di luar stadium yang lebih besar untuk kemudahan penyokong dan pengunjung.

3. Pengurus terbaik

Kehadiran pengurus yang sesuai, berkaliber dan mempunyai strategi yang bagus terhadap pasukan amat penting dalam memberi impak besar pada pencapaian pasukan dan seterusnya meraih kepercayaan peminat. Klopp yang pada asalnya hanya berkhidmat untuk tempoh sembilan bulan sejak Julai tahun lalu kemudian menunjukkan komitmen tinggi sebelum menandatangani kontrak selama 6 tahun bersama pasukan The Reds.Dibandingkan pengurus sebelum ini, Brendan Rodgers, pengurus berusia 49 tahun ini mencatat rekod 28 kemenangan, 16 (seri) dan 13 (kalah) daripada 57 perlawanan manakala Rodgers hanya menang 27 perlawanan, 16 (seri) dan 14 (kalah).

4. Gol tercantik

Stadium Anfield menjadi sejarah banyak gol tercantik pernah dihasilkan pemain Liverpool. Jaringan cantik Dirk Kuyt dan Steven Gerrard yang melakukan hatrik ketika The Reds menang besar 5-0 ke atas Aston Villa pada Mac 2009, Peter Crouch membantu Liverpool membelasah Arsenal dengan 4-1 (Mac 2007) dan kehebatan Robbie Fowler menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Newcastle (April 1996) antara momen indah yang pernah berlaku di Anfield.

5. Lokasi tumpuan pelancong

Sudah menjadi lokasi wajib dilawati pengunjung tidak kira penyokong The Reds, Anfield sentiasa menarik perhatian ramai. Selain keghairahan penyokong mendapatkan cenderamata yang dijual di sini, lawatan bersama Mighty Red iaitu maskot LFC ke dalam stadium memberi tarikan selain berkunjung ke muzium.