Anda pernah terbayang kalau ada sebuah pulau di Malaysia yang bakal didedikasikan untuk menjadi penempatan kucing-kucing comel? Ia mungkin akan berlaku dengan usaha seorang doktor haiwan ini.

Menerusi satu entri pencinta haiwan, Randolf Paza di Facebooknya, projek yang diberi nama Projek Pulau Kucing Sabah ini diinspirasikan untuk melindungi kucing-kucing ini di sebuah pulau.

Seekor kucing di pulau Mamutik.

Memetik temubual Randolf di Harian Metro, "saya dapat tahu ada sebuah pulau di Jepun dipenuhi dengan kucing. Memandangkan saya selalu buat kerja amal merawat kucing di beberapa pulau berhampiran Kota Kinabalu, timbul idea untuk melindungi kucing di kawasan ini.

"Anak kucing di pulau ini mati kerana kebanyakannya dimakan haiwan liar terutamanya biawak. Jadi saya sering melawat ke pulau ini untuk melindungi kucing yang ada di pulau sama ada dengan merawat atau mengembiri kucing terbabit", ulasnya lagi.

Randolf merupakan seorang pencinta haiwan.

Doktor ini juga bercadang menjadikan Pulau Mamutik sebagai Pulau Kucing kerana persekitaran yang sesuai untuk menempatkan dan mengumpul kucing di sekitar pulau berkenaan.

Entri di Facebooknya sehingga kini telah menerima hampir 1500 perkongsian dan 700 komen dari netizen. Dia juga memerlukan bantuan sukarelawan dan jika anda berminat, boleh berhubung dengan Randolf di Facebooknya, di sini.

Jepun juga sudah ada pulau kucing, Malaysia bakal menyusul

Tahukah anda ada beberapa buah pulau di Jepun yang didiami oleh kucing? Populasi kucing lebih banyak dari manusia.

Antara yang terkenal adalah pulau Tashirojima. Terciptanya pulau ini adalah kerana pada masa lalu, nelayan di pulau tersebut membela kucing untuk membunuh tikus.

Kucing-kucing di Pulau Tashirojima, Jepun.

Walaugaimanapun, kucing membiak dengan pantas di pulau itu dan akhirnya melebihi penduduk tempatan.

Dalam masa yang singkat, sektor perlancongan di pulau tersebut turut membangun kerana ramai pencinta kucing di seluruh dunia datang kesini hanya untuk melihat kucing-kucing tersebut hidup bebas tanpa gangguan.