LIFESTYLE
Raih Lagu Kemanusiaan Terbaik, Ini Pencapaian Terhebat Lagu Assalamualaikum
Penghargaan demi penghargaan diterima penyanyi lelaki ini namun kali ini sedikit berbeza kerana temanya adalah sukarelawan dan kemanusiaan. Dua anugerah sukarelawan dan kemanusiaan diraih menandakan dia di landasan yang betul untuk menjadikan dunia ini lebih indah. Dengan lagu Assalamualaikum selaku penerima Lagu Kemanusiaan Terbaik yang sarat mesej perpaduan dan keamanan serta perjuangan membantu mangsa pelarian di Syria dan mangsa bencana di Acheh menerusi iAMFAITHMEN, Faizal Tahir selayaknya dihargai.

Gambar: IM4U
Faizal Tahir tidak menyangka lagu Assalamualaikum yang dikeluarkan pada hujung 2014 masih mempunyai impaknya hingga ke hari ini. Menurut Faizal sendiri, “masa buat lagu Assalamualaikum, team saya fikirkan inilah masanya untuk kita tampil dengan sebuah lagu berjiwa positif. Masa tu tahun 2014, ada banyak sangat perkara negatif berlaku jadi kami fikir, sepatutnya ada satu lagu yang boleh menyatukan kita semua, satu lagu yang punya mesej perpaduan, kemanusiaan dan maka menerusi inilah tercetusnya idea untuk lagu Assalamualaikum. Masyarakat dan komuniti antara yang menjadi inspirasi kami dalam mengembalikan semangat semua”.

Gambar: IM4U
Kegembiraan jelas terpancar diwajahnya apabila menerima penghargaan seperti ini, “Secara jujurnya, impak lagu Assalamualaikum ini cukup luar biasa. Kuasa lagu dan muzik itu sendiri sebenarnya cukup besar. Terdahulu saya pernah ke kem pelarian di Syria, bila saya nyanyikan lagu tu disana, mereka yang tak faham bahasa kita boleh menghayati lagu tersebut, menangis, bagi saya itu pencapaian terbaik untuk lagu Assalamualaikum. Saya sendiri tak jangka kalau sampai kita bawa lagu tu pergi tempat orang, mereka boleh tersentuh hati walaupun tak faham, saya cukup terharu. Selama 10 tahun saya dalam industri, anugerah inilah yang paling memberi impak pada saya. Sebagai penyanyi, kita tak jangka boleh buat benda-benda macam ni, join aktiviti sukarelawan dan sebagainya jadi bila kita dihargai macam ni, buat saya mahu pergi lebih jauh”.
Pada majlis berprestij yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan isteri, Faizal Tahir turut mempersembahkan lagu Assalamualaikum sebagai penutup majlis dan mendapat pujian daripada Perdana Menteri sendiri.

Gambar: IM4U
Selfie dengan Faizal Tahir ! pic.twitter.com/XLM8KDTdkm— Mohd Najib Tun Razak (@NajibRazak) December 9, 2016
Faisal Tahir sedang menyanyi dimajlis Volunteer Malaysia Award . Hebat ! pic.twitter.com/69gesBtTcC— Mohd Najib Tun Razak (@NajibRazak) December 9, 2016
Selain lagu Assalamualaikum, lagu-lagu yang turut tercalon dalam kategori Lagu Kemanusiaan Terbaik adalah Arena Cahaya (Zee Avi), Langit (Yuna), Langit Tetap Biru (Aizat Amdan), Masih Di Sini (Bunkface), Negaraku (Faizal Tahir, Altimet, Joe Flizzow dan SonaOne) serta Who’s Gonna Stop Me (Paperplane Pursuit). Kami sempat bertanyakan pendapat Faizal Tahir, bagaimana sesebuah lagu itu boleh bercirikan kemanusiaan, ia semestinya boleh memberi kesan dan rasa pada orang yang mendengar. “Keikhlasan itu paling penting. Orang boleh tahu jika kita buat lagu itu seperti terlalu mencuba ataupun lagu yang sekadar cukup makan, jadi sesebuah lagu itu perlu sampai pada pendengar, boleh memberikan mereka rasa, jiwa, semangat, mutual understanding tidak kira apa juga lirik dan mesej yang ingin disampaikan".
Setelah berjaya memberikan impak menerusi lagu Assalamualaikum, Faizal tidak lagi menoleh ke belakang apabila melihat peluang untuk mengubah dunia menerusi kuasa muzik terbentang luas. “Saya akan menulis lirik dan membuat lagu selagi mampu. Kami juga baru mengeluarkan single terbaru hasil kolaborasi saya, Noh Salleh, Aizat Amdan, Mu’adz Dzulkefly dan Ezra Kong yang bertajuk Kullul Hubbi untuk pelarian-pelarian perang, saya harap orang ramai boleh dengar lagu ni, fahamkan maknanya dan bantu promosikan”.


Gambar: iAMFAITHMEN
Cukup terharu apabila IM4U FM telah menghargai lagunya dan juga badan amalnya, iAMFAITHMEN, ada pelbagai perancangan untuk misi kemanusiaan yang akan disusun. “Saya juga amat menantikan kehadiran tahun kami 2017 kerana saya mahu lebih fokus pada iAMFAITHMEN. Ini tidak bermakna saya mahu tinggalkan bidang muzik tetapi saya mahu capai impian untuk bekerja dengan lebih ramai orang, membantu orang yang memerlukan dan memberikan sinar harapan pada mereka”.

Gambar: IM4U
Faizal Tahir telah mengondol dua anugerah pada Volunteer Malaysia Awards – A Prime Minister’s Award yang telah berlangsung di Sunway Resort Hotel dan Spa pada minggu lalu. Anugerah Volunteer Malaysia kategori Personaliti menyaksikan Faizal Tahir menerusi iAMFAITHMEN telah menewaskan Hideaki Lim (A Future with Hope), Mizz Nina (Feeding the Needy), Dato’ Siti Nurhaliza dan Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa (Yayasan Nurjiwa) dan Erma Fatina Rahmad (Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia)
Bagi anugerah Lagu Kemanusiaan Terbaik pula mencatatkan kecermerlangan berterusan bagi lagu Assalamualaikum apabila telah dinobatkan lagu terbaik.
Must-Watch Video