Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Rakyat Malaysia Yang Ke-3 Paling Kurang Bercuti Di Dunia

Azwa Rahman
07/03/2018 03:59 MYT

Rakyat Malaysia merupakan penduduk ketiga yang paling kurang bercuti di dunia dan menduduki tempat kedua di Asia Pasifik, kata Expedia.com.my.

 

Menurut Expedia, hampir dua pertiga rakyat Malaysia yang ditinjau mendedahkan bahawa mereka sangat atau agak kurang bercuti berdasarkan kaji selidik tahunan ke-17 mengenai kekurangan percutian.

   

Pengurus Besar Expedia Asia Tenggara dan India, Simon Fiquet, berkata tiga alasan utama masalah ini berpunca dari masalah bajet atau kemampuan, keinginan untuk mengumpul hari cuti untuk cuti lebih lama dan ketidakupayaan mengelak daripada kerja.

 

Menurutnya, kaji selidik itu yang melibatkan 15,000 dewasa yang bekerja sepenuh masa di 30 pasaran mendedahkan yang kekurangan percutian semakin meningkat di seluruh dunia, dengan 53 peratus responden merasakan kurang bercuti pada 2017 berbanding 49 peratus pada 2016.

   

"Berbanding Amerika dan Eropah, Asia-Pasifik mengetuai kumpulan itu sebagai rantau paling kurang bercuti, dengan Korea Selatan menerajui senarai, diikuti Perancis dan Malaysia. Malaysia berada dalam senarai lima teratas negara paling kurang bercuti sejak 2015.

 

Fiquet berkata, tinjauan itu juga menunjukkan seorang daripada tiga rakyat Malaysia akan memeriksa e-mel atau mel suara yang berkaitan dengan pekerjaan mereka sekurang-kurangnya sekali sehari semasa bercuti dan ini bermakna mereka tidak dapat menikmati percutian mereka sepenuhnya.

   

Menurutnya, rakyat Malaysia menghargai cuti mereka dan menyatakan bahawa masa bercuti yang berkualiti adalah penting untuk produktiviti dan prestasi yang lebih baik, dan merupakan bahagian penting dalam keseimbangan kerja-kehidupan.

 

Kaji selidik tersebut mendedahkan 77 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa mereka menjadi lebih santai selepas pulang daripada bercuti, dan peratusan yang tinggi mengatakan mereka akan menjadi lebih produktif dan fokus serta dapat berfikir lebih holistik selepas bercuti.
 

Di semua sektor, Fiquet berkata, kaji selidik tersebut mendapati bahawa mereka yang terlibat dalam pemasaran dan industri berkaitan media adalah yang paling kurang bercuti di dunia, diikuti sektor makanan dan minuman serta pertanian.

Sumber: Bernama
#Travel #travel