Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
LIFESTYLE

Realiti Nasib Penulis Skrip Tempatan Bukan Sekadar Glamor

Elrafaei Sapi 07/02/2017 | 08:53 MYT
Bagi mereka yang minat menulis, menceburi bidang penulisan skrip boleh memberi satu kepuasan berbeza apatah lagi karya itu diangkat sebagai drama bersiri, telefilem mahupun filem. Namun, nasib penulis skrip di negara ini tidak hanya glamor nama mereka dipaparkan menerusi 'end credits'.
Presiden Persatuan Penulis Lakon Layar Kuala Lumpur dan Selangor (PENULIS), Alfie Palermo menjelaskan nasib penulis skrip tempatan tidak mungkin berubah kerana beberapa faktor antaranya penulis skrip bukan profesion yang penting dalam industri perfileman dan TV tanahair kerana produser tidak faham kepentingan skrip atau proses untuk menghasilkan skrip yang berkualiti.
"Kenapa 99 peratus penerbit di Malaysia tidak mementingkan proses pembangunan skrip kerana tiada tuntutan dalam industri perfileman dan TV tanah air secara amnya untuk penulisan skrip yang sofistikated, mengikut teknik penceritaan yang sebenar dan mendalami tema-tema yang mampu menjana pemikiran masyarakat kerana menurut demografik stesen TV dan produksi filem adalah penonton di Malaysia tidak kisah pun," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, baru-baru ini.
Tambahnya, demografik penonton pula harus difahami iaitu majoriti penonton drama dan filem Melayu bukan dalam kalangan masyarakat yang sofistikated tetapi ia juga bukan fenomena yang eksklusif hanya di Malaysia. Malah, filem paling laku dalam sejarah global beberapa tahun lalu adalah siri francais seperti Transformers serta Fast and Furious dan bukan filem arahan Alejandro González Iñárritu atau Quentin Tarantino.
"Corak penceritaan, perwatakan dan tema yang dirungkai dalam majoriti drama TV dan filem di Malaysia tidak pernah berubah sejak 30 tahun yang lalu. Begitu juga, gaji pekerja filem khususnya penulis skrip juga tidak pernah berubah dalam tempoh sama," katanya.
Katanya, persoalan mengapa mentaliti penulis skrip masih berada di takuk lama kerana mereka masih tidak berani bersuara dan berfikir secara kritikal serta sentiasa berharap stesen TV masih akan menjadi periuk nasi mereka untuk 50 tahun akan datang meskipun Internet sudahpun mengambil alih sebagai media kandungan utama di Malaysia mahupun di seluruh dunia.
#Penulis Skrip #Penulis Skrip