Vokalnya memukau telinga kita. Liriknya sering menusuk hati serta lagu-lagunya selesa memanjat carta-carta radio seluruh negara dalam sekelip mata. Ed Sheeran atau nama penuhnya Edward Christopher Sheeran mahu anda mengenalinya sebagai penyanyi dan penulis lirik berkaliber.

Persembahan Ed Sheeran memukau ribuan peminat di Malaysia.

Berpeluang bertemu mata selama 15 minit sebelum bermulanya konsert Ed Sheeran Live in Kuala Lumpur bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam, kami sempat bertanyakan beberapa soalan kepada penyanyi kesayangan ramai ini.

1. Jika diberi peluang memberikan satu nasihat kepada Ed Sheeran versi kecil, apakah ia?

Saya tidak ada apa-apa nasihat untuk diberikan pada diri saya yang dulu dari segi karier ataupun muzik kerana biarpun ada banyak perkara yang memberi masalah pada saya, saya belajar daripadanya.


2. Apa rahsia kesihatan dan kulit cantik Ed Sheeran?

Saya cadangkan supaya anda semua berhenti merokok. Dulu saya sangat suka merokok dan saya mula merokok pada usia 13 tahun. Merokok sangat membahayakan kesihatan dan ia ibarat meletakkan racun dalam badan anda sendiri. Kini saya dah tujuh bulan berhenti merokok dan saya dapati banyak perubahan yang baik pada diri saya. Bila berhenti merokok, saya lebih bertenaga, tidur lebih lama dan tidak lagi batuk berdarah setiap pagi.


3. Ed Sheeran suka makan pedas?

Saya suka makanan pedas tapi tidaklah terlalu pedas.


4. Orang selalu menggunakan lagu Ed Sheeran sebagai lagu perkahwinan mereka. Selain menggunakan lagu sendiri, lagu apa yang anda akan gunakan untuk perkahwinan anda nanti?

Saya memilih lagu March Madness dari Future sebagai lagu tarian.


5. Apa rasanya mendengarkan lagu anda sendiri dimainkan di radio?

Kali pertama mendengarnya, saya sangat gembira! Tapi sekarang kalau saya dengar lagu Shape of You, saya akan tutup radio sebab dah dengar lagu tu banyak kali.