LIFESTYLE

Selamat Dan Terpelihara - Jejaka Ini Kongsi Trip Ke Pakistan, Setanding New Zealand

Azwa Rahman 01/02/2019 | 17:26 MYT

Pakistan merupakan sebuah negara underrated yang dipandang sepi. Namun tahukah anda, Pakistan turut memberikan pemandangan dan pengalaman kembara yang indah.

Pakistan turut menawarkan industri pelancongan yang indah dan masih belum mendapat tumpuan umum. Jadi jika anda mahu jadi antara yang terawal melawat negara ini, inilah masanya!

Jika sebelum ini Pakistan dikatakan sebuah negara bergolak dan tidak stabil dari segi politik serta ekonomi, pengembaraan jejaka ini membuktikan perkara itu tidak benar.

Keindahan Pakistan terpelihara.

Bagi jurutera Oil & Gas berusia 31 tahun ini, dia terpikat dengan budaya dan alam semulajadi yang dibacanya menerusi sebuah artikel kira-kira dua tahun lalu. Pemilik nama sebenar Muhd Adli Fazrin ini juga seorang yang sukakan sesuatu yang rare.

Berkongsi kembaranya ke Pakistan, dua bulan diperuntukkan untuk Adli membuat semua persediaan sebelum berangkat. "Saya dan teman-teman memilih untuk backpacking berbanding guna agen pelancongan. Kami menggunakan aplikasi Coachsurfing (CS) untuk memudahkan urusan pengembaraan", jelas Adli.

Visa hanya RM30 untuk 14 hari.

Pakistan merupakan antara negara yang memerlukan visa namun ia tidaklah semahal negara India. Berbeza dengan India, untuk memohon visa ke Pakistan, anda perlukan Letter of Invitation (LOI) dan perlu hadir bagi sesi temuduga di kedutaan. Menurut Adli, "visa Pakistan berharga RM30 (sah 14 hari) sahaja tapi proses untuk mendapatkanya leceh sedikit.

"Kami dapat LOI dari hos CS kerana mereka mahukan salinan kad pengenalan orang lokal Pakistan. Buat pembayaran RM30 di Affin Bank, pastikan simpan resit tu untuk diberikan kepada kedutaan. Untuk perempuan, perlu ada surat kebenaran lawatan daripada ibu bapa atau penjaga dan surat itu perlu disahkan oleh pesuruhjaya sumpah dan setara dengannya.

"Apabila semua dokumen lengkap, bawa ke Kedutaan Besar Pakistan di Jalan Ampang. Isi borang, beri semua dokumen dan tunggu giliran untuk dipanggil. Masa temuduga saya tempoh hari, pegawai mereka bertanya tentang itinerari, tinggal di mana, dengan siapa, macam mana kenal dengan hos dan banyak lagi. Mujur semuanya okay dan saya boleh ambil passport dan visa yang telah diluluskan jam 4 petang keesokan harinya", ujar Adli lagi.

Musim sejuk di utara Pakistan.

Pakistan merupakan negara empat musim terutamanya di bahagian utaranya. Untungnya kunjungan Adli ke Pakistan, dia sempat merasa tiga musim sekali gus. Menurutnya, "Saya terbang ke sana semasa musim luruh. Kemudian di Lahore sedang musim panas dan saya sempat merasa musim sejuk dan bermain salji di Babusar. Saya turut merasa iklim pasang pasir di Thalpan Valley selepas tiga jam perjalanan setelah merasa salji di Babusar!"

Berkongsi tentang kembara indahnya, Adli jatuh cinta dengan utara Pakistan. "Saya pernah ke New Zealand dan apa yang boleh saya katakan, lanskap dan pemandangannya setanding dengan New Zealand malah ada sebahagiannya yang lebih indah! Ada beberapa tempat seperti Khunjerab, Naltar Valley dan Fairy Meadows yang wajib anda letak dalam itinerari", kata Adli lagi.

Setanding New Zealand.

Kembara 12 hari dan 11 malam ini bermula dan berakhir di Lahore. Tiket penerbangan ke Pakistan sedikit mahal dan jika anda mahu berjimat, anda boleh memasuki Pakistan menerusi Amritsar, India melalui sempadan Wahgah untuk ke Lahore. "Setibanya di Pakistan, hos CS sedia menunggu saya dan teman-teman untuk meneruskan perjalanan kami.

"Untuk tempat tinggal, kami tinggal di rumah orang tempatan di beberapa lokasi dan hanya beberapa malam sahaja kami bermalam di hotel. Tinggal bersama orang tempatan sangat menarik selain kerana ia menjimatkan kos, kami dapat menyelami budaya tempatan dan menikmati makanan asli Pakistan. Makanan kegemaran saya sudah tentu capati dan biryani dimana rasanya sangat berbeza berbanding di Malaysia", ulas Adli.

Antara tips yang boleh dikongsi juga adalah jangan ambil gambar kaum wanita sebarangan, melainkan dah dapat kebenaran dan bawa salinan passport dalam beberapa helai kerana anda akan melalui banyak checkpoint tentera untuk memastikan keselamatan anda terjamin.

Eiffel Tower di Pakistan.

Untuk anda yang baru mengenali negara Pakistan, negara ini turut mempunyai Eiffel Tower mereka sendiri yang terletak di Lahore. Di Lahore juga terdapat beberapa tempat bersejarah hasil tinggalan Dinasti Mughal antaranya Lahore Fort dan Badshashi Masjid yang juga merupakan tapak warisan dunia UNESCO.

Berikut merupakan itinerari asas kembara Pakistan Adli dan tema-teman.

Hari 1:

Hari 2:

Hari 3:

Orang tempatan di pasar Lahore.

Hari 4:

Hari 5:

Hari 6:

Hari 7:

Sempadan Pakistan - China.

Hari 8:

Hari 9:

Pakistan kaya alam semulajadi.

Hari 10:

Hari 11:

Hari 12:

JUMLAH KESELURUHAN: RM 3,831 seorang (kami travel tiga orang Malaysia dan seorang orang Pakistan)
Penerbangan: RM 558 (KL-Amritsar-KL)
Visa Pakistan: RM 30 (sah 14 hari)
Visa India: RM 463 (sah setahun)
Tempat tinggal/pengangkutan/makan/membeli-belah: RM 2780
Upacara penutupan sempadan.

Kaki travel pasti sudah ada gambaran betapa indahnya Pakistan. Orang lokal Pakistan sangat peramah dan baik terhadap pelancong luar. Hospitaliti yang ditunjukkan membuatkan Adli dan teman-teman sangat selesa serta di sini juga tiada scam seperti di kebanyakkan negara.

Kesimpulannya, Pakistan sangat selamat! Telahan dan tuduhan media yang mengatakan negara ini tidak selamat adalah tidak benar sama sekali. Inilah masanya untuk anda mulakan kembara ke negara indah ini.

#Travel #travel