LIFESTYLE
Siapa Aunty Patrin Sehingga Menjadi Watak Kegemaran Ramai?
Kalau di semenanjung Malaysia, nama Mak Jemah cukup popular sebagai watak radio kegemaran ramai, di Sabah juga apa kurangnya. Jika anda mengikuti siaran radio terbaru KK12 FM di frekuensi 89.5 FM di Kota Kinabalu, anda pasti mengenali watak bernama Aunty Patrin yang sinonim dengan tagline 'kotor, sapu-sapu dulu'.
Watak Aunty Pantrin atau bahasa mudahnya kakak cleaner, mula wujud seawal penubuhan stesen radio ini pada pertengahan tahun 2017. Walaupun baru bertapak, nama Aunty Patrin serta radio KK12 FM sudah mempunyai kelompok pendengar setia tersendiri. Siapa sebenarnya Aunty Patrin?
Aunty Patrin adalah watak yang dicipta tanpa sengaja menerusi satu video mempromosikan radio ini dan kemudian menjadi tular sehingga mendapat perhatian netizen. Dari satu episod itulah, Aunty Patrin kembali dengan beberapa siri video pesanan khidmat masyarakat, menegur penuh humor beberapa isu komuniti yang berlegar-legar dalam kalangan orang kita. Bagi pembawa watak tersebut, Amy Dangin, dia sebenarnya merupakan seorang penyampai radio yang mengendalikan segmen pagi KK12 FM, Reality Bites with Amy D.

Menerusi episod pertama itulah, wanita berusia 32 tahun yang dahulunya seorang wartawan ini melahirkan watak Aunty Patrin dengan menggunakan jaket yang sering dipakainya ketika di dalam konti dan meminjam selendang merah rakan sekerjanya. Amy menggunakan dialek Sabah, Bugis dan bahasa Inggeris untuk memberikan nyawa pada karekter Aunty Patrin dan paling hebat, Aunty Patrin tidak memerlukan sebarang skrip. Menurut Amy, "tidak sangka hanya dari satu episod sahaja watak Aunty Patrin memberikan kesan pada netizen. Apabila ia menjadi, kami ambil kesempatan dan ruang ini untuk membuat pelbagai video dengan unsur positif serta nilai-nilai murni untuk penonton".
Misi ibu kepada tiga cahaya mata ini jelas lagi bersuluh. Menerusi watak Aunty Patrin inilah dia mahu mengajar kita supaya jangan menilai orang hanya pada luaran dan jangan malu pada asal usul sendiri. "Setiap orang mesti berbangga dengan asal-usul dan sentiasa menghargainya. Tagline 'kotor, sapu-sapu dulu' itu sendiri ada makna tersirat iaitu bersihkan apa yang perlu. Sama ada kita di pejabat, di rumah ataupun sedang makan di restoran, sentiasa bersihkan kawasan persekitaran. Dari situlah kami menerima banyak maklumbalas positif dari pendengar serta penonton dan mereka sentiasa nantikan video terbaru dari kami. Setakat ini sahaja, Aunty Patrin telah menyentuh isu tentang jangan menilai orang secara luaran, menepati masa, hargai ibu bapa, hormat, setiakawan, berbelanja secara berhemah dan kami akan terus memberikan video-video sarat mesej positif pada semua", ujar Amy.

Tahap populariti Aunty Patrin memberi tempias buat Amy. Apabila watak ini mula tular di media sosial serta dalam kalangan pendengar dan penonton di Sabah, ia sekaligus meletakkan dirinya ibarat selebriti. "Mana sahaja saya pergi antaranya ke pasaraya, bank, restoran, pusat membeli-belah ataupun majlis perkahwinan, ramai nak bergambar dan mengambil video. Malah ada teman dan peminat di Kuala Lumpur yang tahu tentang kewujudan Aunty Patrin dan mereka sukakannya. Sejujurnya, saya tidak menjangkakan boleh menjadi perhatian ramai namun ia sangat mengujakan buat team KK12 FM".
Bila dah dikenali ramai, pastinya penonton ternanti-nantikan hasil yang terbaik dari Aunty Patrin dan juga warga kerja KK12 FM. Menyentuh pelbagai isu yang kita hadapi setiap hari, video tentang rasa hormat menjadi kegemaran Amy. Topik-topik ini juga tidak hanya dizahirkan melalui video Aunty Patrin, malah Amy turut berdiskusi bersama pendengar KK12 FM yang mendengarkan segmennya. Tambah istimewa apabila seorang guru bahasa Inggeris di Institusi MELTA turut menggunakan videonya sebagai salah satu bahan pengajian dan ia digemari oleh pelajar-pelajarnya.

"Namun ada satu topik yang bermain di fikiran saya iaitu kanak-kanak jalanan di Sabah. Biarpun sudah banyak usaha kerajaan dan badan NGO dalam membendung masalah ini, masih ramai tanggapan negatif terhadap penduduk Sabah sendiri terhadap kanak-kanak ini. Kalau boleh saya mahu sentuh tentang isu yang agak sensitif ini agar boleh mendidik orang ramai tentang kanak-kanak jalanan disini. Selain itu, isu perbezaan agama turut menarik minat saya". Akui agak tertekan untuk perlu memberikan topik yang segar, Amy percaya dengan kemampuan pasukan KK12 FM yang terdiri dari lapan orang warga kerja untuk terus bergabung idea kreatif mereka.

Harapan setinggi gunung Kinabalu, Amy berharap agar semua yang menonton video Aunty Patrin dapat menyelami mesej yang cuba disampaikan dalam setiap video. Pasti ada sedikit sebanyak topik ada berhubung kait dengan orang disekeliling kita. Di sebalik setiap pujian, dia turut menerima kecaman dan kritikan dari penonton dan itu tidak sesekali mematahkan semangatnya. "Ada yang memberikan komen Aunty Patrin tak cukup jiwa lokal Sabah kerana menggunakan bahasa Inggeris. Ada pula yang mula menyentuh hal peribadi seperti mereka kenal ibu bapa saya, ayah orang Dusun, mak orang Indonesia jadi macam mana Aunty Patrin boleh jadi orang Bugis? Suami Aunty Patrin pula bernama Agus, dah tukar agama ke? benda-benda macam tu la. Tapi saya ambil pendekatan dengan tidak mengendahkan sebarang kecaman sebegini. Kita tak dapat nak puaskan hati semua orang", jelas Amy lagi.

Selain sibuk keudara setiap pagi dan menghasilkan video-video Aunty Patrin, pasukan KK12 FM juga akan menghasilkan sebuah projek dokumentari bertajuk 'We Did This' yang menekankan isu pengurusan bahan pembuangan di Kota Kinabalu. "Kami berharap dengan projek ini, ia membuka mata ramai pihak dan memberikan impak positif. Seiring dengan matlamat kami di KK12 FM, kami mahu sebarkan aura-aura positif dan meningkatkan gaya hidup masyarakat di Kota Kinabalu", kata Amy.