Stokin Berbeza, Adakah Ini OOTD Terbaharu KJ?
Sedang membelek Instagram, kami terhenti pada entri terbaharu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (KJ) menerusi akaun Instagramnya, @khairykj.
KJ tidak seperti menteri biasa yang mungkin gemarkan warna gelap atau warna tanah. Lebih suka bereksperimen dalam fesyen, hari ini KJ berani menggayakan sarung kaki yang berbeza iaitu warna kuning pada kaki kanan dan belang biru-hitam-coklat pada kaki kiri.
"Saya suka stokin terang, tetapi hari ini ia tidak sepadan. Adakah angkara saya tergesa-gesa untuk menghadiri mesyuarat Kabinet sehingga tidak dapat cari sepasang yang sepadan dan adakah ini OOTD (Outfit Of The Day) terbaharu? Tidak", tulisnya di dalam Instagram.
Rupa-rupanya, menteri berusia 42 tahun ini menjelaskan pemakaian stokin berbeza warna dan corak ini adalah bersempena meraikan Hari Sindrom Down Sedunia yang disambut 21 Mac pada setiap tahun.
"Hari Sindrom Down Sedunia menitipkan mesej untuk menyayangi manusia seperti sedia ada. Hari ini, saya turut menzahirkan penghormatan kepada anak saudara, Aisha. Aisha mempunyai Sindrom Down, tetapi ia tidak pernah dijadikan sebagai rintangan untuk dia mengejar impiannya.
"Dia bijak, cantik, kelakar, aktif dan sentiasa menampilkan diri sebagai jurucakap yang mempunyai keberanian ketika menyampaikan ucaptama mengenai perjuangan ke arah sistem pendidikan menyeluruh, dengan mengetepikan perbezaan antara kanak-kanak biasa serta istimewa," jelasnya kepada 854,000 pengikut Instagramnya.
Ia pemangkin ke arah usaha menghapuskan jurang perbezaan antara individu yang dilahirkan dengan kebolehan berlainan, selain memastikan tiada kanak-kanak tercicir daripada arus perdana. Selain itu, ia juga memberi peringatan kepada kita semua bahawa manusia dan segelintir perkara mungkin tampak berbeza, namun masih indah dan mengagumkan menerusi kaca mata seperti sedia ada.