Sukan ragbi sinonim dikategorikan sebagai sukan lasak atau sukan lelaki. Apabila kaum wanita mula menceburkan diri dalam sukan ini, ada pula mata-mata yang kurang senang.

Namun, dalam dilabel sebagai sukan lelaki, sekumpulan anak gadis ini tidak mempedulikan stigma itu. Pujian harus diberikan kepada skuad ragbi wanita Sabah kerana menjulang pingat emas ketika Sukan Malaysia (SUKMA) Perak bulan lalu.

Sumandak Sabah hebat!

Berkesempatan menemubual pemain kebangsaan serta kapten bagi skuad rugbi wanita U17 Sabah, Shania Baduk, sumandak Sabah ini mendapat sokongan penuh dari keluarganya untuk menyertai sukan ragbi.

Pemain ragbi wanita Sabah.

Baru berusia 17 tahun, minat mendalam terhadap bidang sukan menjadi punca penglibatannya secara serius. "Biarpun saya balik dari aktiviti latihan dengan lebam dan luka sana sini, sukan sudah menjadi minat saya sejak kecil. Saya anak sulung dari tiga beradik dan kesemua adik-beradik serta ibu dan bapa sangat menyokong penglibatan saya", jelas Shania.

Skuad ragbi wanita Sabah.

Cinta pertamanya adalah sukan bola sepak namun setelah berpindah sekolah ke SM St Michael, Penampang, Sabah, mereka tidak mempunyai pasukan bola sepak wanita. Guru yang merangkap jurulatih yang memintanya untuk mencuba sukan ragbi.

Menurut Shania, "pada awalnya saya tak yakin saya boleh bermain ragbi namun bapa kata ragbi adalah salah satu cara terbaik saya menjaga kecergasan diri. Senior ragbi di sekolah ini sangat baik dan mereka tekun melatih dan menunjukkan pelbagai kemahiran pada saya.

Ketika perlawanan Sukma Perak.

Melalui sukan jugalah mengajarnya untuk menjadi insan lebih berdisiplin serta menjaga pemakanan. Bagi Shania sendiri, tidak salah untuk wanita menyertai sukan lasak dan ekstrem kerana dari situlah kita tahu kemampuan diri.

Kini menjadi pemain kebangsaan bagi skuad ragbi U17, U20, wakil negeri Sabah serta kelab Angel Warriors, Shania mahukan lebih ramai gadis Sabah menyertai sukan ragbi.

Lincah dan tangkas.

Bezanya bermain sukan diantara lelaki dan wanita, pasti ada cabaran yang terpaksa dilalui. "Kalau berlatih ragbi atau ada pertandingan sewaktu datang bulan, itu agak mencabar tapi saya bersyukur kerana jurulatih dan rakan sepasukan sangat memahami", katanya lagi.

Melakar sejarah bagi skuad ragbi wanita Sabah dan kenangan manis buat dirinya apabila berjaya merangkul pingat emas di Sukma Perak yang berlangsung baru-baru ini, dia menyerahkan sepenuh masa, tenaga dan harapan untuk buat negeri Sabah bangga.

Bersama pingat yang dimenanginya.

"Menang Sukma sangat memberikan pengalaman berharga pada saya. Semestinya selepas Sukma, sasaran saya untuk ke pertandingan yang lebih besar lagi seperti Sukan SEA ataupun Sukan Komenwel", jelas Shania.

Impian yang dikecapi Shania sekarang pastinya berlaku pada kita. Pesan Shania, dalam apa jua bidang yang anda minati, jangan pernah berhenti mencuba. Setiap cabaran atau kegagalan yang dilalui hanyalah untuk memberi pengajaran agar kita boleh melangkah lebih jauh. "Pastikan juga anda berada di dalam kelompok orang-orang yang positif untuk sama-sama gapai impian", jelasnya lagi.