LIFESTYLE
Tengok Panorama Dari Pandangan Mata Burung
Jika anda inginkan suatu pengalaman yang indah seperti berjalan di atas laluan berlantaikan kaca setinggi 244.6 meter dari aras laut sememangnya cukup mengujakan lebih-lebih lagi dapat menyaksikan panorama indah dari pandangan mata burung. Inilah peluang keemasan buat pengunjung apabila berpeluang mengunjungi Rainbow Skywalk yang terletak di Taman Tema Tertutup, The Top di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di Georgetown, Pulau Pinang.
Laluan tergantung berkaca yang berada di tingkat 68 itu merupakan aras paling tinggi KOMTAR yang menjadi mercu tanda Pulau Mutiara sebagai lokasi tarikan pelancong. Menariknya, Rainbow Skywalk berukuran 16 meter panjang dan berdiameter 5.5 meter ini menjadikan lokasi tumpuan pelancong ini antara yang terpanjang di negara ini.

Cukup teruja dan menyeronokkan apabila pengunjung boleh melihat bangunan dan kenderaan yang terdapat dibawah seperti sebuah replika permainan yang sedang bergerak sekaligus mengabdikan kenangan melihat keseluruhan kawasan pulau dengan jelas. Bukan itu sahaja, jika anda berpeluang pergi melihat menerusi menara tinjau yang berada di tingkat 65 pengunjung juga menikmati pemandangan termasuk menyaksikan matahari terbenam dan sebagainya.

Jika mahu datang ke sini juga mudah kerana pengunjung boleh memilih sama ada menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam kerana di tingkat bawah KOMTAR terdapat hentian bas. Malah, hampir kesemua laluan bas awam Rapid Penang singgah di sini termasuk bas persiaran Penang Hop-On Hop-Off Tourist Bus.
Sesuai sebagai destinasi baru tarikan pelancong, caj bayaran masuk sebanyak RM88 dikenakan untuk dewasa manakala kanak-kanak iaitu RM48 manakala pelancong asing adalah RM118 (dewasa) dan RM88 (kanak-kanak).
Must-Watch Video