Transit lama di lapangan terbang boleh menjadi perkara paling bosan dalam hidup anda ataupun satu penggembaraan menarik di bandar baru.

Ada beberapa lapangan terbang yang menawarkan jelajah bandar secara percuma buat anda yang mahu menghabiskan masa sebelum penerbangan seterusnya.

Jika anda bakal transit lama di enam lapangan terbang ini, anda boleh mendapatkan jelajah bandar secara percuma.

1.Singapura (Lapangan Terbang Antarabangsa Changi)

Mercu tanda Singapore.

Jika anda terbang menggunakan Singapore Airlines ataupun Silk Air yang akan transit di Lapangan terbang Changi untuk ke destinasi pilihan, anda boleh mengisi masa dengan jelajah bandar Singapura secara percuma.

Antara kawasan yang boleh anda lawati adalah sekitar Marina Bay Sands, Merlion Park, Kampong Glam, Little India atau Chinatown.&

2. Taipei, Taiwan (Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan)

Menara Taipei 101.

Antara destinasi bajet pilihan ramai serta aneka pilihan makanan halal enak, Taipei patut anda terokai.

Dengan jelajah bandar Taipei yang disediakan oleh pihak lapangan terbang secara percuma, anda bakal melawat pelbagai mercu tanda Taiwan antaranya Sanxia, Yingge, Dalongdong Temple atau menara ikonik Taipei 101.

3. Istanbul, Turki (Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk)

Bazar indah di Istanbul.

Salah satu tempat kegemaran bagi destinasi bajet, Istanbul menawarkan pelbagai variasi di dalam bandar indahnya.

Jelajah bandar di Istanbul boleh membuka mata anda apabila anda berkungjung ke Masjid Biru, Yedikule Fortress, Old Samatya Armanien District, Walls of Constantine dan pelbagai tempat menarik lagi. Namun, tawaran percuma ini HANYA untuk mereka yang terbang menaiki kapal terbang Turkish Airlines sahaja.

4. Seoul, Korea (Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon)

Istana indah di tengah Seoul.

Rugi kalau anda transit lama di Incheon tapi tak ambil peluang pusing-pusing di bandar Seoul.

Anda akan dibawa melawat mercu tanda ikonik Seoul antaranya Gyeongbokgung Palace, Insa-dong, Myeong-dong, Namdaemun Market dan pelbagai kuil. Jangan risau dengan kekangan bahasa kerana jelajah ini mengunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

5. Doha, Qatar (Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad)

Souq Waqif di Doha.

Jika anda ke negara Eropah, selalunya anda akan transit di negara Timur Tengah ini. Doha, Qatar juga menawarkan jelajah bandar secara percuma buat anda yang transit lama.

Anda akan diajak untuk mengelilingi Katara Cultural Village, Museum of Islamic Art (tutup hari Selasa), Souq Waqif dan sebagainya. Namun, ia hanya terhad kepada mereka yang transit lebih dari lima jam.


6. Tokyo, Jepun (Lapangan Terbang Antarabangsa Narita)

Shinsho-ji Temple.

Jika anda transit lama di Lapangan Terbang Narita, ambil peluang untuk bersiar-siar di bandar Tokyo dengan perkhidmatan jelajah percuma ini.

Ada banyak benda yang anda boleh jelajah daripada terokai makanan Jepun, budaya dan tradisi Jepun serta bersiar-siar di pinggir bandar. Jelajah ini akan dikendalikan dalam bahasa Inggeris. Namun anda perlu membayar sendiri kos transit awam ataupun bayaran masuk tempat lawatan.