Kami memang teruja kalau ada kanak-kanak yang ada bakat unik. Tak kira bakat menyanyi, bakat bermain alat muzik, bakat memasak atau apa sahaja, ia sepatutnya diraikan dan dilatih agar bakat mereka digunakan ke jalan yang betul.

Minggu lalu viral video sekumpulan pelajar sekolah bermain ukulele lagu Hikayat Benladin nyanyian penyanyi cilik, Benladin. Pelajar dari Sekolah Kebangsaan Bukit Mahkota (SKBM), Kota Tinggi, Johor ini menggelarkan diri mereka Bukit Mahkota Ukulele Group (BMUG).

Pertemuan Benladin dan BMUG.

Tanpa melengahkan masa, pihak Sony Music Malaysia bersama Benladin pergi ke SKBM bagi memberi kejutan dan semangat kepada pelajar sekolah dan khususnya BMUG. Kami turut sama berkesempatan mengikuti lawatan ini bagi menyaksikan sendiri kehebatan pelajar-pelajar sekolah rendah ini bermain ukulele.

Terdiri daripada pelajar tahun 3,4 dan 5, pasukan BMUG dipimpin oleh guru muzik, Ahmad Sobri Muzammil bin Hussain, 26. Sejurus tamat pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Ipoh, Ahmad Sobri ditempatkan di SKBM, Kota Tinggi, Johor. Minatnya pada alat muzik Ukulele diturunkan pada anak-anak muridnya.

Selain lagu Hikayat Benladin dan Comel Pipi Merah, jangan terkejut kalau pelajar ini turut bermain lagu Radiohead, Creep.

Bagi Benladin sendiri, semestinya dia terharu apabila BMUG memilih lagunya untuk dipersembahkan. Melihat wajah-wajah terkejut mereka saat lawatan diadakan cukup membuatkan bakat mereka rasa dihargai.

Guru muzik, Ahmad Sobri dan Benladin.

"Saya sendiri teruja dan kagum dengan bakat adik-adik ni. Bila tengok mereka main ukulele, nak hafal lagu, ingat kod, ingat rentak tarian, syabas atas semua usaha, mereka memang hebat", jelas Benladin.

Bagi guru muzik, Ahmad Sobri, pemilihan lagu Hikayat Benladin adalah daripada pelajar-pelajar ini sendiri. "Dari segi pemilihan lagu, saya banyak memberikan idea dan pada masa yang sama saya juga beri kebebasan pada mereka untuk memilih lagu yang mereka nak bawakan. Jadi bila mereka sendiri yang minta nak bawa lagu Benladin, saya dengar mereka persembahkan, memang sesuai dan catchy untuk muzik ukulele."

Benladin berikan semangat dan sokongan.

"Saya baru menubuhkan BMUG dalam masa tujuh bulan. Dari awal lagi saya datang ke sekolah ni, saya latih mereka bermain ukulele dari kosong sampailah sekarang, kami berlatih 20 minit setiap hari ketika waktu rehat.

"Kami mula buat persembahan secara kecil-kecilan di peringkat sekolah, naik ke peringkat daerah sehinggalah kami bakal membuat persembahan di Festival Muzik Kuala Lumpur pada 18 November ini",jelas Ahmad Sobri lagi.

Benladin di SK Bukit Mahkota.

Menurutnya lagi, "saya teringin sangat nak bawa BMUG ke Festival Muzik Kanak-kanak dimana tahun lalu diadakan di Turki. Tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka semakin baik apabila muka didedahkan kepada lagu-lagu berbahasa Inggeris. Harapan saya agar mereka boleh ke peringkat antarabangsa dan melebarkan lagi bakat mereka."