'Kami buat chalet ini sebab kami tidak mahu kawasan kami diceroboh pembalak'

Dengar ungkapan ini saja sudah macam-macam persoalan timbul. Rasa sebak pun ada! Betapa tekadnya mereka ini mengekalkan khazanah hutan negara.

Namun siapa sangka, demi mempertahankan khazanah hutan paling bernilai, chalet Pos Kuala Mu ini segera dibina berhampiran kampung berkenaan.

Namun apakah keistimewaan Pos Kuala Mu ini? Adakah berbaloi untuk dimasukkan dalam senarai percutian? Kami senaraikan apa yang best mengenai chalet ini.

NIKMAT SUASANA HUTAN SEBENAR

Sarapan dan minum petang di tepi sungai, anyone?
Jika anda bosan dengan destinasi atau penginapan mainstream sedia ada dan mahukan sesuatu yang berbeza, mungkin Pos Kuala Mu ini pilihan paling tepat.

Jika anda mahukan destinasi rehat yang jauh daripada kesibukan kota, Pos Kuala Mu ini jugalah paling bersesuaian.

Secara umumnya, anda akan memasuki kawasan pedalaman orang asli yang memerlukan tempoh perjalanan hampir sejam dari pekan Sungai Siput.

Apa yang dihidangkan di Pos Kuala Mu ini pastinya keindahan alam semula jadi yang masih terjaga rapi oleh penduduk Orang Asli.

Lihat saja sungai yang jernih ini, siapa boleh tahan. Kerusi dan meja juga ada disediakan untuk anda bersantai sambil merendam kaki.

KEMUDAHAN CHALET TRADISI ORANG ASLI

Chalet untuk anda mahu bermalam di sini.
Jika anda membuat keputusan untuk bercuti di sini, perlu diingatkan chalet ini dibina di kawasan pedalaman Orang Asli di Sungai Siput Perak.

Difahamkan, sehingga kini terdapat 15 chalet telah dibina di kawasan ini.

Anda perlu membuat tempahan terlebih dahulu bagi mengelak sebarang masalah terutamanya pada hujung minggu.

Mungkin tidak mewah dan eksklusif seperti penginapan lain, namun ia mewah dengan ciri warisan. Itu yang cuba ditonjolkan masyarakat di sini.

PELBAGAI AKTIVITI HUTAN

Boleh lupa semua masalah di ofis jika dapat bersantai memancing sebegini.
Apalah ertinya jika bercuti di kawasan hutan tanpa melakukan aktiviti ‘nature’ bukan?

Terdapat aktiviti ‘hiking’ untuk anda yang gemar meneroka alam sekitar. Anda akan dibawa ke memasuki hutan berhampiran selama hampir 1 jam dengan caj RM10 seorang.

Lokasi kemuncak 'hiking' pastinya apabila tiba di tempat air terjun Sungai Jak. Namun aktiviti paling menarik jika ke Pos ini sudah tentunya aktiviti memancing.

Dengan hanya bayaran RM20 seorang, anda boleh memancing atau menjala ikan tegas di bawah chalet Kampung Bersah.

Anda lihat hasil habuan ikan ini dan nilaikan!

SELAMI KEHIDUPAN MASYARAKAT ORANG ASLI

Rendam kaki di sungai sambil bersantai.
Seperti yang dinyatakan tadi, konsep yang cuba ditonjolkan penginapan ini agak berbeza dengan tempat pelancongan kebiasaan lain.

Ternyata ia bukan ditujukan kepada individu yang mahu tempat penginapan serba mewah seperti di resort atau hotel. Ia lari daripada kebiasaan.

Apa yang lebih bernilai, anda berpeluang mempelajari adat dan budaya Orang Asli itu sendiri.



Jika mahu menempah chalet, anda boleh menghubungi pengurus chalet Kampung Bersah, Saidin Ismail 0194117281.

Bagi mengetahui lanjut mengenai destinasi 'underrated' ini pula, anda boleh rujuk di Facebook Komuniti Pos Kuala Mu