Haziqah Nurul Huda Harun, 20, atau lebih mesra dipanggil Yaya mula belajar membuat Kuih Bakul daripada seorang kenalan Facebook yang berasal daripada Beijing, China.

Ketika ditemui Bernama di rumah beliau di Kampung Bukit Kuang, Kemaman, Yaya memberitahu dia mula belajar teknik membuat kuih tersebut dua tahun yang lalu.

(Kredit Gambar: MA / www.sinchew.com.my)

“Disebabkan diri saya yang lumpuh akibat demam panas empat tahun lalu, saya hanya membuat Kuih Bakul ini secara suka-suka sahaja, tetapi bila ada teman-teman membuat tempahan, saya tak sampai hati untuk menolak”.

Menurut Yaya, proses membuat Kuih Bakul daripada mengadun bahan-bahan sehinggalah membungkus mengambil masa tiga hari.

Sehingga kini beliau menyiapkan tempahan sehingga 2,000 biji Kuih Bakul sebulan dan bertambah sehingga 4,000 biji menjelang perayaan Tahun Baru Cina.

(Kredit Gambar: MA / www.sinchew.com.my)

“Ada juga tempahan daripada Singapura dan Qatar dan saya membuat dua jenis perisa iaitu perisa asli dan juga perisa durian. Harganya pula antara RM8 dan RM15 sebiji bergantung kepada saiznya.”

Berbekalkan duit raya sebanyak RM300, Yaya memulakan perniagaannya dan kemudian meminjam wang daripada ayahnya, Harun Che Muda, 62, untuk membeli kelengkapan yang lebih baik seperti oven, steamer dan keperluan lain.

(Kredit Gambar: MA / www.sinchew.com.my)

“Hutang saya pada ayah sudah langsai, dan hingga kini saya sudah menghabiskan kira-kira RM50,000 termasuklah pengubahsuaian dapur untuk menyelesakan pergerakan saya,” jelas Yaya yang menggunakan kerusi roda.

Katanya kepada Bernama lagi, dia sangat berharap suatu hari nanti dapat mengadakan bengkel dan juga mengambil pekerja untuk memulakan perniagaan membuat Kuih Bulan pula.