Masked Singer 2022
“Maskot Abang Burger Berat… Macam Daging 2 Ekor Lembu” - Malek Noor
Peserta The Masked Singer Malaysia 3 (TMSMY3), Datuk Malek Noor yang menyarungkan maskot Abang Burger mendedahkan, sebab utama beliau menerima tawaran daripada pihak Astro untuk menyertai program berkenaan adalah disebabkan keinginannya untuk menghiburkan penonton.
Malek Noor berkata, sungguhpun sudah lebih 20 tahun tidak menyanyi, namun, dia berasa puas hati kerana dapat naik ke atas pentas dan menyanyi.
“Saya anggap penglibatan saya dalam TMSMY3 ini sebagai hiburan sahaja… sebab saya tak bersedia apa pun. Dulu saya memang menyanyi dan pernah mempunyai album. Tapi dah lama tak aktif, jadi suara kedengaran kasar.
“Apa pun TMSMY3 merupakan satu program yang sangat unik. Sebab juri dan penonton akan berteka-teki siapakah penyanyi yang berada dalam maskot. Mungkin ada yang teka sampai tak tidur malam!” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Malek Noor berkata, cabaran terbesar sepanjang penglibatannya dalam TMSMY3 adalah perlu menyarung maskot yang dirasakan agak berak.
“Maskot ni agak berat. Nak bergerak pun terhad sebab sarung burger tu sampai ke lutut. Tambahan pula, saya tak nampak apa di depan, jadi saya bergerak ikut suka.
“Saya rasa maskot ni beratnya sekitar lebih lima kilogram, macam daging dua ekor lembu,” katanya sambil tertawa.
Ditanya adakah sukar untuk menyimpan rahsia, Malek Noor menjawab: “Kalau kita jujur senang, kalau orang tanya pergi mana, saya kata saya sibuk shooting masak-masak,” tutup Malek Noor.
Minggu hadapan bakal menyaksikan 12 lagi maskot berentap dalam TMSMY3. Maskot-maskot tersebut ialah Mawar Berduri, Kurita, Si Tangkis, Betta Fish, Lollipop, Bertih Jagung, Zirafah, Mr Parrot, Manggis, Pizza Panas, Brokoli, Nyoq Muda dan Dewi Angsa.
Barisan juri tersebut adalah Elly Mazlein, Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Shuib Sepahtu, Emma Maembong, Didie Alias, Atu Zero dan Misha Omar. Ella Aminuddin pula kembali sebagai juri untuk tiga musim berturut-turut sementara pengacara tersohor, Datuk AC Mizal menggalas tugas sebagai hos sekali lagi.
TMSMY menggunakan format asal program realiti popular dari Korea Selatan, The King of Mask Singer yang juga diadaptasi di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, China dan Amerika Syarikat.
Mengekalkan format asal program realiti The King of Mask Singer, kesemua peserta TMSMY musim ini akan memakai kostum menutupi susuk tubuh sambil menyembunyikan identiti masing-masing.
Hanya suara dan kreativiti persembahan sahaja yang akan menjadi pertaruhan untuk menentukan kedudukan peserta dari minggu ke minggu sehinggalah dinobatkan sebagai juara.
TMSMY3 berlangsung selama 10 minggu dan sesi rakaman dijalankan di Putrajaya International Convention Centre (PICC).
The Masked Singer Malaysia musim ketiga akan mula bersiaran pada setiap hari Jumaat, mulai 23 Disember 2022, jam 9.00 malam di saluran Astro Warna HD dan juga boleh distrim secara eksklusif menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel.
Dapatkan Pek Premium 1 untuk penjimatan hebat dengan hanya RM 99.99 sebulan untuk enam bulan pertama. Whatsapp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838 untuk menikmati rancangan hiburan ini di Astro.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.