Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Masked Singer 2022

“Saya Gembira Dapat Kelirukan Juri” - Jalaluddin Hassan

Izwan Isa 21/01/2023 | 01:50 MYT

Pelakon dan penyanyi, Datuk Jalaluddin Hassan mendedahkan, beliau berasa gembira kerana dapat mengelirukan juri sewaktu menyarungkan maskot Manggis menerusi pertandingan The Masked Singer Malaysia 3 (TMSMY3).

Jalaluddin berkata, sungguhpun tersungkur di minggu kelima, namun dia dikira berjaya kerana juri-juri tidak dapat menebak dengan tepat identiti dirinya.
“Sebenarnya, saya tak sangka juri-juri TMSMY3 tidak berjaya meneka identiti sebenar saya sepanjang pertandingan.
“Saya gembira dapat kelirukan juri sepanjang lima minggu ini. Sungguhpun saya tersingkir, tetapi mereka tidak dapat teka siapa saya. Dari situ saya sudah berjaya,” katanya kepada Gempak.
Ditanya mengenai pengalamannya menyertai TMSMY3, Jalaluddin memberitahu yang dia sebenarnya agak kekok menyanyikan lagu orang lain.
“Sewaktu saya ditawarkan untuk menyertai program ini, saya fikir boleh menyanyi lagu sendiri. Tetapi pihak produksi kata, kalau saya nyanyi lagu sendiri, penonton dan juri akan dapat teka.
“Jadi, saya pun cuba menyanyikan lagu penyanyi lain dan tak sangka cubaan saya berjaya mengelirukan juri,” katanya.
Ditanya bagaimanakah staminanya masih kuat sepanjang menyertai TMSMY3, Jalaluddin berkata: “Saya pun hairan macam mana saya boleh dapat stamina. Mungkin disebabkan amalan senam ringan yang saya amalkan, jadi ia memberikan banyak manfaat,” tutup Jalaluddin.
Minggu hadapan bakal menyaksikan 11 lagi maskot berentap dalam TMSMY3. Maskot-maskot tersebut ialah Mawar Berduri, Si Tangkis, Betta Fish, Lollipop, Bertih Jagung, Zirafah, Mr Parrot, Pizza Panas, Brokoli, Nyoq Muda dan Dewi Angsa.
Barisan juri tersebut adalah Elly Mazlein, Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Shuib Sepahtu, Emma Maembong, Didie Alias, Atu Zero dan Misha Omar. Ella Aminuddin pula kembali sebagai juri untuk tiga musim berturut-turut sementara pengacara tersohor, Datuk AC Mizal menggalas tugas sebagai hos sekali lagi.
TMSMY menggunakan format asal program realiti popular dari Korea Selatan, The King of Mask Singer yang juga diadaptasi di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, China dan Amerika Syarikat.
Mengekalkan format asal program realiti The King of Mask Singer, kesemua peserta TMSMY musim ini akan memakai kostum menutupi susuk tubuh sambil menyembunyikan identiti masing-masing.
Hanya suara dan kreativiti persembahan sahaja yang akan menjadi pertaruhan untuk menentukan kedudukan peserta dari minggu ke minggu sehinggalah dinobatkan sebagai juara.
TMSMY3 berlangsung selama 10 minggu dan sesi rakaman dijalankan di Putrajaya International Convention Centre (PICC).
The Masked Singer Malaysia musim ketiga akan mula bersiaran pada setiap hari Jumaat, mulai 23 Disember 2022, jam 9.00 malam di saluran Astro Warna HD dan juga boleh distrim secara eksklusif menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel.
Dapatkan Pek Premium 1 untuk penjimatan hebat dengan hanya RM 99.99 sebulan untuk enam bulan pertama. Whatsapp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838 untuk menikmati rancangan hiburan ini di Astro.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.

#Datuk Jalaluddin Hassan #The Masked Singer Malaysia 3 #TMSMY3
;