Muzikal Lawak Superstar 4
MLS4: Tiada Pengganti, Abon Luah Rasa Kerinduan Terhadap Arwah Mr. Os - “Tengok Muka Anak-Anak Dia Buat Saya…”
Pelawak otai, Abon memberitahu dia pada mulanya menolak pelawaan untuk menjadi artis jemputan kumpulan Deroyan pada malam final Muzikal Lawak Superstar 4 (MLS4) memandangkan dirinya sudah bersara dari pentas komedi.
Niat bantu
Bagaimanapun Abon atau nama sebenarnya Sharizan Ahmad, 64, berkata dia menerima kerana berniat untuk berbantu anak-anak rakan sepejuangannya, Allahyarham Mr. Os iaitu Has dan Dewa.
“Sebenarnya saya dah tolak dah, sebab sekarang saya dah fokus berniaga di Selancar 2. Mereka telefon orang rumah (isteri) dan orang rumah cakap pergi la sebab anak-anak arwah letak harapan besar pada saya.
“Bila mereka panggil, saya datang… saya pandu kereta selama empat jam, redah hujan. Tapi niat saya satu sahaja, ‘Os, ini kali aku bantu anak-anak kau’,” katanya kepada Gempak.
Penampilan sama
Kongsi Abon lagi, hatinya mula berasa sebak ketika melihat penampilan Dewa yang sama seperti arwah Mr. Os dan berasakan seakan-akan dirinya bersama kumpulannya dahulu, Osbon.
“Masa sesi latihan dia pakai baju biasa, tapi bila pakai seperti arwah dengan muka macam itu. Saya terpandang, saya seperti berada bersama Osbon.
“Bila saya jeling dekat belakang rupa-rupanya ada klip segmen saya bersama arwah… itu lagi la (sebak). Tengok muka anak-anak dia, buat saya rasa tak tahan.
“Saya terus ke depan dan cakap ‘apa-apa pun alasan yang saya berikan, saya tak boleh sorokkan, sebenarnya saya rindukan kau Os’. Sampai sekarang saya tak ada partner,” ujarnya.
Abon muncul sebagai artis jemputan kumpulan Deroyan pada segmen kedua dan persembahan mereka mengundang rasa sebak penonton dengan video pelawak itu dengan arwah Mr. Os.
ARTIKEL BERKAITAN: #GempakVideoNews : “Penat Mental & Sampai Tahap Rasa…” - Eric Floor 88 Reda Kalau Deroyan Tersingkir
ARTIKEL BERKAITAN: MLS4: Kumpulan Zuara Buat AC Mizal Menangis! Putehh Masih ‘Gempak Superstar Of The Week’ & Impian Deroyan Nak Ke Final Hampir Berkecai
Malam final MLS4 yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur pada Ahad menyaksikan kumpulan Sarkas (Danial Zaini, Shashic & Acap S) dinobat sebagai juara.
Kumpulan Padie (Namie, Fad & Aretoy) pula di tempat kedua manakala Putehh yang dianggotai oleh Ali Puteh, Aya Amiruddin dan Man Raja Lawak di kedudukan ketiga.
Kumpulan Deroyan mendapat tempat keempat, Zuara (Zulin Aziz, Nizam Jentik-Jentik & Chiwan) di tempat kelima dan Zulin Aziz dinobatkan sebagai Superstar Paling Gempak MLS4.