Polis mengesahkan lelaki warga Korea Utara yang meninggal dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam adalah Kim Jong-Nam iaitu abang tiri kepada pemimpin negara itu, Kim Jong-Un.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi mengesahkan perkara itu. Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan bahawa mayat seorang lelaki Korea Utara dibawa ke Hospital Putrajaya dari KLIA.

"Hasil siasatan polis mendapati lelaki itu berada di KLIA pada 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau, China, yang dijadualkan pada 9 pagi, semalam. Bagaimanapun, belum sempat dia menaiki penerbangannya, lelaki berkenaan diserkup dengan kain yang mempunyai sejenis cairan daripada arah belakang oleh seorang wanita.

"Selepas dia diterkap wanita berkenaan, mangsa meronta-ronta meminta tolong dan terus mendapatkan bantuan penyambut tetamu di KLIA kerana matanya pedih terkena cairan. Sejurus selepas itu, mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya dan disahkan meninggal dunia," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Fadzil berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut, sementara menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.

"Saya telah maklumkan perkara ini kepada Kedutaan Korea Utara untuk maklumat susulan," katanya.