Adibah Noor dan Baki Zainal Tinggalkan Suria FM
Penyampai radio dan penyanyi, Adibah Noor, 46, serta gandingannya Baki Zainal, 35, mengesahkan akan melepaskan jawatan sebagai penyampai radio Suria FM bermula 31 Mei ini. Adibah atau nama sebenarnya, Adibah Noor Mohd Omar, menerusi BH Online berkata, keputusan itu dibuat selepas tidak lagi mampu membahagikan masa antara tugas di konti dan komitmen lain.

Bagi Baki Zainal atau nama sebenarnya Zahimin Baki Zainal, 35, keputusan untuk meninggalkan radio sebenarnya sudah lama ada namun semangat yang diberikan oleh pendengar Ceria Pagi membuatkan dirinya bertahan. Menurut Baki, "Setiap pagi bila dapat mesej dari pendengar kata saya dan kak Adibah menceriakan hari mereka, saya gembira. Tapi lama-kelamaan saya sedar bahawa jiwa saya bukan radio. Saya cukup hormat pada penyampai radio yang betul-betul menumpahkan jiwa dan raga pada bidang radio macam Linda Onn dan Halim Othman." Baki juga ingin lebih memberi tumpuan dan fokus sebagai pengacara TV dan bakal kembali dengan sebuah rancangan pengembaraan di saluran 8TV kelak.
