News
Barang Tiruan Mudah Dibeli, Penyebaran Maklumat Palsu Di Media Sosial Makin Berleluasa
Sukar menafikan rakyat negara ini mudah mendapatkan barangan tiruan tidak kira di mana saja sama ada di pasar malam, gerai di tepi jalan, pusat membeli belah termasuk media sosial. Meskipun pelbagai serbuan dilakukan termasuk tangkapan peniaga ini, bisnes barangan tiruan masih berterusan.
Kes terbaru membabitkan operasi yang dijalankan Unit Risikan Forensik Khas (SIFU) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya yang memberkas seorang jutawan muda yang didakwa menjalankan perniagaan haram menerusi media sosial.
Pada zaman sekarang isu tiruan tidak hanya terhad pada barangan semata-mata. Malah, isu tiruan juga sebelum ini menarik perhatian ramai membabitkan isu cetak rompak dan penyebaran maklumat palsu.
Pada April lalu, KPDNKK menyatakan mereka bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam membendung berita palsu berhubung harga petrol. Tindakan juga boleh dikenakan pada mereka yang melakukan perbuatan sedemikian.
Isu membabitkan penyalahgunaan maklumat di alam maya sebenarnya lebih parah pada masa kini apabila segala maklumat mudah disebarkan dan dikongsi pengguna di media sosial sehingga ia menjadi viral tanpa kesahihannya.
Pada tahun lalu, Malaysia dicatatkan sebagai negara kedua terbesar di Asia selepas Filipina terbabit dalam ‘content piracy’ atau cetak rompak terhadap kandungan bahan maklumat. Ia merangkumi kegiatan cetak rompak menerusi cakera video digital (DVD). Mencari jalan penyelesaian perkara ini, aspek keselamatan menyalurkan sesuatu bahan maklumat kepada pihak pemamer (pawagam) atau penjual perlu diperketatkan.
Dalam usaha KPDNKK bersama SKMM menyekat kegiatan cetak rompak ini, kesedaran dalam kalangan masyarakat amat penting agar tidak menjalankan perniagaan menjual barang tiruan khususnya menerusi media sosial atau membeli barang tiruan serta menyebarkan maklumat tidak sahih.
Sama ada jualan barangan tiruan, cetak rompak dan menyebarkan malumat palsu, semuanya mempunyai kaitan dengan media sosial. Kita mengharapkan Malaysia tidak lagi berada di kedudukan kedua atau carta negara yang mempunyai isu cetak rompak tertinggi di Asia pada tahun ini dan seterusnya.