News
Berlaku Litar Pintas Di Hospital Sultanah Aminah
Kejadian kebakaran kedua yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru hari ini adalah berpunca dari litar pintas kecil akibat wayar terdedah terkena air dari kerja-kerja pembersihan kesan kebakaran di tingkat dua hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata, kejadian berlaku di Dewan Bedah, tingkat satu yang sedang dalam pengubahsuaian manakala tiada mangsa dilaporkan cedera.
"Kejadian yang berlaku tidak melibatkan sebarang unsur sabotaj, keganasan dan jenayah," katanya kepada media seperti dilaporkan Bernama.
Menurutnya, lokasi kejadian kali ini terletak di tingkat satu bangunan sama dengan lokasi kebakaran semalam. Bomba turut mengesahkan bangunan induk tersebut selamat untuk digunakan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Othman Abdullah mengesahkan berlaku percikan api di tingkat satu di bawah Unit Rawatan Rapi (ICU) yang terbakar semalam.
Jelasnya, kejadian itu berlaku apabila air mengalir semasa proses pembersihan kawasan tersebut yang terkena plug elektrik.
Must-Watch Video