Satu daripada tumpuan utama pelancong jika ke Melaka pastilah Melaka River Cruise di Sungai Melaka, Melaka.

Namun, pada anda yang belum tahu Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) baru saja menghentikan operasi berkenaan. Ini kerana keadaan banjir yang semakin teruk di negeri terbabit.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azlan Abidin, operasi itu dihentikan sementara waktu berikutan paras air tinggi dan arus deras di sungai itu.

Jelasnya keputusan itu telah pun dilakukan petang semalam isebagai langkah pencegahan dalam memastikan keselamatan penumpang dan pemandu bot terjamin.

ALOR GAJAH PALING TERJEJAS TERUK

Air sungai sudah melimpah.
Jika anda ke Melaka dan melalui kawasan Alor Gajah, anda boleh lihat beberapa kawasan di situ yang terjejas. Empangan Batu Hampar perlu dibuka bagi mengalirkan lebihan takungan air masuk ke baraj di muara sungai.

Berdasarkan laporan Harian Metro paras ketinggian air Sungai Melaka mencecah 1.4 meter iaitu melepasi paras normal 1.2 meter selepas empangan dibuka, sekali gus menyebabkan arus sungai lebih deras.

Keadaan itu juga turut menyebabkan bot Melaka River Cruise tidak dapat melepasi satu daripada lapan jambatan di sepanjang sungai.

Anda yang telah merancang untuk menaiki Melaka River Cruise dalam tempoh terdekat ini bolehlah memikirkan alternatif lain. Apapun jangan bimbang, ia hanya sementara waktu!