Ku impikan bahagia sampai ke bintang, namun taufan membelah badaiā€¦ Itulah hakikat sebuah perkahwinan. Setiap pasangan menginginkan rumahtangga bahagia sehingga jannah tetapi aturanNya lebih sempurna. Minggu ini sahaja dua kisah perkahwinan yang kurang enak telah kita dengari. Kami himpunkan 10 kisah perkahwinan untuk kita jadikanlah teladan, semoga ikatan yang terjalin berkekalan sehingga akhir usia.

Rentung di Pelaminan

Gambar: www.titaniumfireworks.com

November 2012, tarikh yang tidak dapat dilupakan pasangan pengantin dari Wilayah Timur Arab Saudi apabila kemeriahan majlis perkahwinan mereka lenyap dengan insiden kebakaran yang meragut 23 nyawa termasuk kanak-kanak. Kebakaran tercetus apabila bunga api yang digunakan pada majlis perkahwinan terkena bekalan kuasa elektrik.

Kain Pengantin Terlucut

Persalinan indah antara perkara yang dititik beratkan pasangan pengantin. Pakaian yang disarung perlulah indah dan sempurna bagi menyerlahkan kecantikan dan keyakinan pengantin. Berbeza dengan satu majlis perkahwinan di India. Kain dhoti yang disarung pengantin lelaki terlucut setelah dipinjak pasangannya tanpa sengaja ketika mereka berarak mengelilingi api.

Keris Makan Tuan

Gambar: www.fotomedia.com.my

Kemeriahan satu majlis perkahwinan bertukar tragik apabila seorang peserta silat cedera parah setelah ditikam di dada kanan dengan sebilah keris semasa membuat persembahan pada majlis itu di Kg Patau-Patau, Labuan. Mangsa, pelajar kolej berumur 17 tahun, dikejarkan ke hospital dan meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Pengantin Paramedik

Gambar: awesomejelly.com

Sarah Ray terpaksa melupakan seketika tentang majlis perkahwinannya dan bertindak nekad bergegas ke lokasi kemalangan dalam busana pengantin. Sarah, seorang anggota paramedik di Amerika Syarikat yang mengetahui tentang insiden itu yang melibatkan anggota keluarganya yang dalam perjalanan ke majlis perkahwinannya, berhenti seketika bagi memastikan mereka dalam keadaan stabil.

Dicerai Malam Pertama

Seorang pengantin lelaki menceraikan isterinya pada malam perkahwinan mereka selepas menerima gambar intim wanita berkenaan yang dikirim bekas kekasihnya dalam satu kejadian yang berlaku di salah sebuah hotel di Riyadh.

Musnahnya Sebuah Impian

Hasrat seorang jurujual kereta untuk berkahwin dengan gadis pilihannya berkecai selepas tunangnya membatalkan majlis pernikahan mereka melalui satu kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS). Lebih melukakan, kiriman SMS itu diterima kira-kira 11 jam sebelum majlis perkahwinan mereka diadakan.

Hilang Tanpa Jejak

Kejadian terbaru, seorang posmen terkejut apabila rombongan pihaknya untuk majlis pernikahan di kediaman bakal pengantin perempuan disambut dengan rumah kosong tidak berpenghuni. Lebih memeranjatkan, bakal isterinya tidak dapat dihubungi setelah pihak lelaki menyerahkan wang hantaran RM16,000 dan berhabis lebih RM30,000 untuk persediaan perkahwianan di rumah pengantin perempuan termasuk pelamin, baju pengantin dan jurukamera.

Bertumbuk di Masjid

Insiden pergaduhan antara keluarga pengantin lelaki dengan pihak perempuan ketika majlis pernikahan mereka yang diadakan di sebuah masjid. Pergaduhan dikatakan berpunca daripada wang hantaran tidak mencukupi dan kebiadapan pengantin lelaki.

Maut di Majlis Perkahwinan

Seorang pengantin lelaki maut setelah ditembak dari jarak dekat di bahagian kepada dan dada oleh empat lelaki ketika sedang berbual dengan isteri dan ibu mertuanya di bawah khemah. Kejadian yang berlaku di Pattani, Thailand, itu menyebabkan pengantin lelaki cedera parah dan disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Pengantin Tiga Jam

Seorang wanita tidak menyangka dirinya akan bergelar janda setelah suaminya melafazkan cerai talak tiga hanya kira-kira tiga jam selepas majlis pernikahan mereka di sebuah masjid di Teluk Kumbar. Wanita itu turut ditendang sebanyak dua kali oleh bekas suaminya ketika cuba mendapatkan penjelasan lelaki itu.