Skip to main content

Business News

Gambaran Sebenar Di Pyongyang, TMJ Tidak Bersetuju Harimau Malaya Beraksi Di Sana

harimau-malaya.jpg

Keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan aksi perlawanan Pusingan Akhir Kelayakan 'AFC Asian Cup UAE' 2019 Peringkat Kumpulan B antara Malaysia dan Korea Utara akan tetap berlangsung di Pyongyang nyata bukan saja meresahkan peminat bola sepak tempatan tetapi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menerusi status terkini di akaun Facebook Football Association of Malaysia (Official) hari ini, Baginda amat mengambil berat terhadap isu keselamatan pemain Kebangsaan dan berasakan agak sukar untuk melepaskan mereka ini ke sana.

Advertisement

Bagaimanapun, pasukan Korea Utara akan diberikan kemenangan percuma 3-0 sekiranya Harimau Malaya tidak pergi ke perlawanan tersebut yang dijadualkan pada 8 Jun depan.

"Sepertimana sedia maklum, Kerajaan Malaysia tidak menggalakkan pasukan Harimau Malaya untuk pergi ke negara Korea Utara disebabkan oleh isu diplomatik yang sedang berlaku sekarang ini. Walaubagaimanapun, sehingga kini Kerajaan Malaysia tidak ada mengeluarkan sekatan perjalanan cuma nasihat mengenai perjalanan (Travel Advisory) dan itu tidak mencukupi untuk Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk menukarkan venue perlawanan asal ke venue neutral," titahnya.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu juga menambah, pasukan Harimau Malaya boleh dikenakan denda sehingga AS$50,000 dan disingkirkan daripada pertandingan piala kelayakan di Asia termasuk kemungkinan besar disingkirkan dari mana-mana perlawanan AFC pada masa akan datang.

"Persoalannya ialah apa yang harus kita lakukan? Saya sememangnya mahukan perlawanan ini diadakan di venue neutral demi keselamatan para pemain negara. Selain itu, saya juga dimaklumkan oleh beberapa jurulatih yang pernah pergi ke negara tersebut bahawa situasi di negara tersebut agak teruk.

"Malah, saya juga khuatir dengan masalah jaminan keselamatan serta layanan kemudahan penginapan dari segi tempat tinggal dan makanan di sana. Ini disebabkan kerana salah satu maklumat yang saya terima mengatakan kami perlu membawa makanan sendiri oleh kerana isu sabotaj.

"Seperkara lagi adalah berkenaan masalah mutu pengadilan di sana kerana sekiranya terdapat keputusan yang tidak menyebelahi Korea Utara pastinya keselamatan pengadil akan terjejas sekaligus membuatkan pengadil tersebut akan tertekan.

"Apa-apa pun saya sebagai Presiden FAM tidak setuju sama sekali untuk kami pergi ke Korea Utara tetapi keputusan tersebut terletak pada kerajaan dan Menteri Sukan. Bagi saya keutamaan adalah keselamatan rakyat Malaysia.

"Kami harus membuat keputusan untuk meletakkan keselamatan rakyat sebagai agenda pertama dan bukan membuat keputusan berdasarkan situasi politik. Perkara ini terletak kepada apa kerajaan Malaysia dan penyokong bola sepak tanah air inginkan," titahnya.

Must-Watch Video