Pelakon dan pengarah, Datuk Hans Isaac, 46, mendapatkan khidmat nasihat guaman berhubung tindakan individu bernama Robin Coenraad yang dikatakan cuba menjatuhkan maruah bakal isterinya, Aileen Gabriella Robinson, 28, menerusi entri di Facebook.

“Saya tidak akan mengambil tindakan undang-undang. Tiada sebab untuk saya berbuat demikian. Saya cuma mendapatkan khidmat nasihat.

“Buat masa ini pihak guaman Gabrielle sudah menghantar surat memohon lelaki berkenaan meminta maaf dan menurunkan semua paparan, komen dan gambar peribadi yang membabitkan sejarah silam Gabby (Gabriella) di media sosial," katanya menerusi kenyataan media.

Terdahulu, selepas Hans membuat pengumuman bakal mendirikan rumah tangga dengan bekas pemenang Miss Tourism International 2012 itu , seorang lelaki bernama Robin mendakwa Hans 'merampas' kekasihnya itu di Facebook miliknya.

Lelaki berkenaan memaklumkan terkejut dengan berita pengumuman pasangan itu kerana sebelumnya beliau dan Gabriella kononnya masih lagi pasangan kekasih.

Robin turut menyatakan tidak pasti sama ada Hans tahu kewujudannya atau tidak sebelum artis terbabit melamar Gabriella pada Januari lalu.

Pada masa sama, Hans menyifatkan kekecohan itu sukar diterima kerana pengumuman yang dilakukannya adalah sekadar untuk berkongsi berita gembira.

Beliau juga mengetahui Robin sebagai bekas kekasih tunangnya.

“Kami saling terbuka dan menerima sejarah silam masing-masing. Perhubungannya dengan lelaki itu pada masa lalu langsung tidak ada kena-mengena dengan perhubungan saya dengan Gabby sekarang.

"Kita semua mempunyai sejarah hidup yang membentuk diri kita hari ini. Saya mengenali dan menerima diri Gabby sepenuhnya sejak perhubungan kami mulai rapat," tegasnya lagi.

Mengikut perancangan mereka bakal disatukan pada 29 Julai depan. Pasangan terbabit bertunang di Singapura awal tahun ini.