Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol diisytiharkan sebagai 'Persona Non Grata' dan diarah meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam. Tindakan terhadap Kang Chol itu dilakukan selepas dia tidak hadir ke Wisma Putra, semalam.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata Kang Chol dipanggil ke Kementerian Luar untuk bertemu dengan Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar, Raja Nurshirwan Zainal Abidin.
“Kementerian Luar melalui Nota Diplomatik dihantar ke Kedutaan Korea Utara bagi memaklumkan bahawa Kang Chol diisytiharkan sebagai ‘Persona Non Grata’ selepas gagal menghadirkan diri ke mesyuarat itu. Beliau dikehendaki meninggalkan Malaysia selewat-lewatnya 48 jam dari masa mesyuarat terbabit sepatutnya berlangsung, 6 petang, Sabtu," katanya dalam satu kenyataan media, seperti dilaporkan Harian Metro.
Dalam pada itu, Kerajaan Malaysia menuntut Korea Utara mengemukakan permohonan maaf secara bertulis atas dakwaan Kang Chol terhadap Malaysia.
"Pihaknya (Korea Utara) sudah dimaklumkan berhubung perkara itu. Sekiranya jawapan tidak diterima selewat-lewatnya, pada 10 malam, hari yang sama, Kerajaan Malaysia akan mengambil langkah mempertahankan kepentingan negara," katanya.