Tuhan menguji takkan pernah berhenti. Baru diulit bahagia selepas bergelar suami isteri Disember tahun lalu, pasangan Riezman Khuzaimi dan Datuk Normaziah Sheikh Mohamad berdepan berita yang kurang enak. Pelakon yang juga ahli perniagaan itu dimasukkan ke hospital kerana jangkitan kuman pada paru-paru pada pagi Khamis lalu hingga dimasukkan Hospital Shah Alam.

Terdahulu beberapa teman artis turut berkongsi khabar duka ini di laman sosial mereka termasuk daripada Persatuan Seni Malaysia.

Ketika ini menurut Datuk Normaziah, suaminya belum stabil dan masih diawasi doktor.

“Cuma berbanding sebelum ini, keadaannya agak okey. Sebelum ini memang wajahnya pucat dan seperti tidak bermaya. Doktor berusaha sehabis baik untuk pulihkan keadaannya dahulu termasuk demam yang belum kebah serta tekanan darah turun naik. Pada masa sama doktor juga cuba untuk merawat paru-parunya.

“Ikutkan suami saya kesihatannya tak berapa nak okey sejak seminggu lalu. Nampak yang dirinya memang keletihan dan berselang seli dengan demam. Menjadi kronik hingga dia dimasukkan ke hospital pagi Khamis lalu,” kata isteri kepada Riezman Khuzaimi itu.

Tabah dengan ujian ini, Datuk Normaziah berharap yang orang ramai dapat mendoakan kesihatan suaminya kembali seperti sedia kala.

“Baru saja kami mengecapi bahagia selepas bergelar suami isteri hujung tahun lalu, tapi Tuhan duga pula dengan perkara sebegini. Harap semua dapat doa yang baik untuk dia kembali okey. Ketika ini macam-macam perasaan datang. Semuanya bercampur baur. Tapi ujian ini buat saya jadi kuat. Ada rahmatnya juga.

“Insya-Allah selepas ini, dia kena pentingkan soal kesihatan juga. Kerja, kerja juga, tapi jangan sampai abaikan kesihatan,” katanya.

Riezman berkahwin dengan Datuk Normaziah pada hujung tahun lalu. Kedua duanya saling mengenali sejak 15 tahun lalu, namun intim sekitar enam bulan sekali gus sepakat menamatkan zaman solo masing masing.