Adakah ia hanya gimik pereka Anuar Faizal?

Pereka fesyen Anuar Faizal semalam telah membuat Netizen terbuntang mata apabila membiarkan modelnya memperagakan pakaian hanya berseluar atau bersampin saja menerusi majlis 'An EIDevening with ANUARFAIZAL: Unveiling the Eid Collection for Men'.

Gambar: Facebook

Jangan panik Malaysia. Menurut kenyataan Anuar Faizal di dalam Harian Metro, “Saya menjualnya dengan set lengkap iaitu termasuk sampin, baju serta seluar namun pada majlis itu saya mahu menonjolkan rekaan terbabit secara jelas kepada umum saja. Sebelum majlis itu berlangsung, saya sudah memikirkan kemungkinan yang akan berlaku termasuk dikritik oleh orang ramai yang kemungkinan tidak memahami tindakan itu hanya mahu menunjukkan rekaan semata-mata dan bukannya mahu publisiti murahan”.

Menurutnya lagi, tujuan model lelaki hanya memakai sampin saja bagi memperlihatkan kepada umum fungsi dan kegunaan rekaan itu. Manakala, model berseluar saja pula bertujuan menunjukkan rekaan seluar slim fit yang dilengkapi dua poket kiri dan kanan selain menggunakan getah di belakang untuk memudahkan pergerakan ketika solat.

Koleksi ini mendapat kritikan Netizen apabila Anuar Faizal mula memuatnaik gambar-gambar koleksi ini di Instagramnya. Seharusnya, Anuar Faizal perlulah memberikan penerangan yang penuh di dalam keterangan gambar sebelum memuatnaik gambar supaya Netizen tidak tersalah faham. Apa-apa pun, koleksi ini telah menarik perhatian ramai dan semoga ia berjaya.