NEWS
Kutip Sampah Lepas 'Game', Betul Ke JDT Yang Mulakan Dulu?
Kecoh betul netizen minggu lalu apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memuat naik gambarnya mengutip sampah. Ada yang puji dan tidak kurang juga yang mengkritik perlakuan itu, mendakwa ianya dibuat-buat.
Hakikatnya, semua orang tahu budaya mengutip sampah selepas perlawanan bola ini mula ditonjolkan di negara Jepun. Malah selepas perlawanan Piala Dunia beberapa minggu lalu, maka ramailah terkesan dan mahu menyemai sikap positif berkenaan.

Pasukan bola sepak JDT, melalui kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers, sebentar tadi mendakwa mereka sebenarnya sudah menekankan penjagaan alam sekitar sejak 2015. Ini bermakna ia telah dilakukan sejak tiga tahun lalu.
Menurut JDT, program ini dikenali sebagai ZeroWaste. Ia diadaptasi dari Jepun yang sinonim dengan sikap menjaga alam sekitar dan telah diguna pakai oleh DYAM Tunku Mahkota Johor bagi mewujudkan komuniti penyokong JDT yang berdisiplin.


Nampak gayanya, amalan ditonjolkan penduduk Jepun benar-benar memberi impak kepada seluruh dunia termasuk Malaysia.
Tidak kiralah siapa memulakan dulu kerana apa yang lebih penting adalah amalan ini akan diteruskan dan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam.
Must-Watch Video