Seorang wanita Islam berusia 28 tahun yang memakai niqab menjadi individu pertama di Denmark didenda kerana melanggar undang-undang melarang pakaian yang menutup wajah di tempat awam.

Menurut laporan media tempatan, Jumaat lalu bertempat di sebuah kompleks beli-belah di Horsholm, wanita terbabit dilaporkan sedang bergelut dengan seorang wanita lain yang mahu melucutkan niqabnya.

Sekadar gambar hiasan.

Polis telah dipanggil ke tempat kejadian dan wanita tersebut segera menyarungkan kembali niqabnya.

Menurut polis bertugas, David Borchersen, wanita itu dikenakan denda serta-merta sejumlah 1,000 Kroner (RM480), dan diminta menanggalkan niqabnya atau meninggalkan kawasan awam. "Dia memilih untuk beredar dari tempat itu," ujar Borchersen.

Pada 1 Ogos, pemakaian burqa atau niqab yang menutup sebahagian besar wajah, di tempat awam boleh dikenakan denda bermula 1,000 Kroner. Denda itu boleh dikenakan kepada seseorang sehingga 10,000 Kroner (RM4,800) jika kesalahan itu berulang.

Peraturan yang sama turut dikenakan kepada mana-mana lelaki yang memakai aksesori yang menyembunyikan wajah seperti topeng ski, topeng dan janggut palsu.