Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Lebih 1,000 Peserta Bermain Air, Sapu Bedak

Eiylla Syaharith
13/04/2017 08:01 MYT

Pesta Songkran disambut penuh meriah membabitkan lebih 1,000 pengunjung termasuk penganut agama Buddha hadir beramai-ramai di Kuil Buddha Chaiya Mangalaram, Jalan Burma, Pulau Pinang, semalam.

Pesta Songkran merupakan acara sambutan tahun baru bagi masyarakat Siam dan ia diraikan pada setiap 13 atau 14 April setiap tahun dan menariknya, Pulau Pinang tidak ketinggalan meraikan perayaan itu bersama masyarakat Siam dan juga pelancong asing.

Konsul Jeneral Thailand Pulau Pinang, Ekajit Kraivichien berkata, secara tradisinya perayaan tersebut merupakan sambutan tahun baru bagi Thailand dan ia menjadi satu pesta atau perayaan penuh bersejarah.

Menurutnya, mengikut sejarah pesta ini mula diamalkan sejak zaman kegemilangan Wilayah Sukhotai di Thailand apabila kemasukan agama Buddha ke negara itu dan dibawa bersama kebudayaan dan kepercayaan.

Katanya, secara tradisinya pesta ini disambut golongan muda termasuk kanak-kanak untuk memohon maaf serta meminta restu daripada orang tua seperti ibu bapa, datuk dan nenek termasuk sami dan guru-gurunya.

"Simboliknya satu upacara memandikan patung Buddha (Bhikkhu) akan dilakukan dengan menyiram air bersih dan wangi-wangian ke atas tapak tangan, kaki dan seterusnya anggota badan yang lain. Mereka juga akan masuk ke dalam wat sambil berdoa untuk memohon rezeki sempena sambutan tahun baru dan berniat untuk membuang segala perbuatan jahat yang pernah dilakukan pada tahun-tahun sebelumnya," katanya.

Kemeriahan Pesta Songkran ini adalah pada kanak-kanak apabila mereka dapat bermain air serta menyapukan bedak kepada orang lain.

#Songkran