Pernah tak anda terbayang satu hari nanti segala penghantaran barangan akan dilakukan hanya menggunakan dron?

Bagi Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, perkara ini mungkin akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang. Yup guys, lagi lima tahun iaitu pada 2024!

Berguna jika di kawasan-kawasan terpencil.
Menurut Gobind teknologi dron mempunyai kelebihan dalam beberapa bidang seperti kesihatan, pertanian dan perubatan. Malah dron juga boleh membantu membawa bekalan makanan kepada mereka yang terperangkap dalam banjir.

Jelasnya, inovasi yang digelar sebagai 'Unmanned Aerial Vehicle' (UAV) dron sedang giat dilaksanakan di pelbagai negara seperti Switzerland.

"Swiss Post telah menggunakan dron secara komersil bagi menghantar sampel atau spesimen makmal di antara klinik dan hospital sejak 2018.
Malaysia sudah pasti tidak mahu ketinggalan dalam arus permodenan itu," katanya menerusi Bernama.
Gobind berkata contoh kegunaan dron di negara ini ialah untuk menghantar bekalan ubat-ubatan ke kawasan terpencil dan luar bandar pada masa kecemasan, atau melihat jenis pokok serta membawa baja bagi kawasan luas dalam industri pertanian.