Kalau diberi galang ganti, penyanyi Nora Ariffin menyangka dia akan pergi dahulu bertemu Ilahi. Tapi perancangan Allah itu sebaliknya. Suami tersayang, Johan Nawawi lebih dahulu menyahut seruan ilahi selepas disahkan pihak hospital terkena serangan jantung pada pagi Jumaat sekitar jam 6.30 pagi.
Komposer yang terkenal menerusi lagu dendangan isterinya itu sendiri seperti Hanya Satu, Desa Tercinta, Naluri dan Samudera itu menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, Selangor.
“Saya jangka diri ini akan pergi dulu bertemu Ilahi. Saya tak jangka suami yang akan lebih dulu dijemput-Nya.
“Arwah memang lelaki yang baik. Mati hidup balik pun, saya takkan jumpa lelaki sepertinya,” kata Nora.
Malah Rojak Daily Kaw! dimaklumkan juga Nora dan Johan sepatutnya meraikan ulang tahun ke-25 perkahwinan mereka pada 9 April hadapan. Nampaknya perancangan itu tak dapat dilaksanakan.
“Tuhan lebih sayangkannya. Saya reda. Walaupun awalnya kami mahu meraikan simbolik angka 25 tahun usia perkahwinan itu dengan macam-macam benda. Termasuklah mengenakan baju cantik. Dia nak pakai tuksedo dan saya pula gaun. Kami juga merancang nak adakan showcase sempena usia ulang tahun itu,” katanya.
Penyanyi lagu Dendam Dalam Diam itu juga memberitahu yang dia akan meneruskan legasi yang ditinggalkan arwah suaminya.
“Segala perniagaan dan projek seni yang ditinggalkan termasuk animasi karakter Ummi yang sudah pun masuk tahun kelapan,” katanya.
Jenazah disembahyangkan di Masjid Ar-Rahman, Kampung Tunku, Petaling Jaya dan dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini.
Habsah Hassan, Datuk Ramli MS, Datuk M Nasir, Datin Marlia Musa, Datuk DJ Dave, Aishah, Hattan dan Nassier Wahab antara penggiat seni yang hadir memberikan penghormatan akhir kepada Allahyarham.
Nora dan Johan berkahwin pada 9 April 1993 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Mohd Syakir Iman, 24, Mohd Syakir Alif, 18, Putri Nur Dahlia, 13 dan Putri Nur Fatehah, 5 tahun.