Tarikh 1 dan 2 Mac 2013 akan kekal dalam sejarah negara sebagai detik hitam yang menyaksikan kedaulatan negara dicabar dan lapan wira tanah air gugur mempertahankannya.

Kumpulan pengikut Jamalul Kiram III yang mendakwa waris sah Kesultanan Sulu telah menceroboh dan mendarat di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 12 Februari bagi menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah kesultanan Sulu, kerana sebelum ia diambil British ia di bawah kerajaan Sulu.

Gambar: Astro Awani

Toleransi Malaysia jelas tercabar kerana walaupun telah berunding dengan kumpulan itu, mereka enggan berganjak sekalipun tempoh mereka diminta meninggalkan Malaysia berakhir pada 26 Februari. Lahad Datu dan Semporna, Sabah digemparkan dengan tembakan senjata api sehingga mengorbankan dua anggota komando polis VAT 69, Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabaruddin Daud dan dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Insiden berdarah itu juga meragut nyawa 68 anggota militan dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan negara. Pada 2 Mac, jenazah Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud yang terkorban tiba di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang.

Pertempuran itu juga meragut nyawa 12 pengganas dan enam lagi anggota polis gugur dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Simunul, Semporna. Terpukul dengan keganasan yang dipamer oleh kumpulan militan itu, Ops Daulat dilancarkan apabila pasukan keselamatan negara menggempur kubu mereka dengan serangan udara dan darat pada 5 Mac. PM turut menegaskan agar mereka serah senjata tanpa syarat. Mereka (pengganas) sedang berhadapan dengan negara berdaulat.

Gambar: Astro Awani

Atas dasar mempertahankan negara, PM telah mengumumkan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu dan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) sebagai landasan perundangan kepada ESSCOM.

Ops Daulat turut menyaksikan penangkapan beberapa individu yang didapati bersekongkol dengan kumpulan pengganas terbabit selain anggota militan itu sendiri yang keluar daripada persembunyian selepas digempur. Pada 21 Mac, lapan rakyat Filipina dihadapkan ke mahkamah dan berdepan hukuman mati serta penjara seumur hidup atas tuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menganggotai kumpulan pengganas.

Gambar: Astro Awani

Sehingga tarikh itu juga 443 orang dilapor ditahan kerana memasuki zon merah kawasan Ops Daulat dan pelbagai kesalahan manakala 173 ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Sebagai menghargai pengorbanan wira-wira yang gugur, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan pangkat kepada mereka. Insp Zulkifli dinaikkan pangkat kepada ASP dan Sabaruddin kepada Sarjan.

Enam lagi wira ialah Supt Ibrahim Lebar (ACP), ASP Michael Anak Padel (DSP), Sarjan Abdul Aziz Sarikon (Sarjan Mejar), Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran (Koperal), Sarjan Baharin Hamit (Sarjan Mejar) dan Koperal Salam Tugiran (Sarjan). Dua anggota ATM yang terkorban iaitu Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, yang gugur semasa pertempuran dan Prebet Ahmad Farhan Ruslan, 21, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, masing-masing dinaikkan pangkat Koperal.

PM menyifatkan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu sebagai peristiwa yang bukan sahaja membuka mata kerajaan, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia, terutama di Sabah, tentang betapa pentingnya meningkatkan persiapan untuk menghadapi ancaman luar. Al-Fatihah untuk semua wira-wira negara yang terkorban.

Sumber: Sayang Sabah