Penyanyi Misha Omar selamat melahirkan bayi lelaki di Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM), Cheras, di sini, jam 10.20 malam tadi. Bayi seberat 2.05 kilogram itu dilahirkan secara normal, tiga minggu awal daripada tarikh jangkaan.

Misha sebelum ini dijangka melahirkan bayi sulung hasil perkahwinannya dengan juruterbang, Firroz Ezzwan Rosly pada pertengahan bulan depan.

Penyanyi Bunga-Bunga Cinta itu mula mengalami tanda awal untuk melahirkan selepas selesai shooting muzik video lagu duet terbaharunya bersama Adibah Noor, Jiwa Sentuh Jiwa di Morib, Banting.

Apabila kontraksi yang dialaminya semakin kerap, Misha ditemani pengurus yang juga kakaknya, Mimie Omar bergegas ke hospital kira-kira jam 10 malam untuk melakukan pemeriksaan.

"Saya bagaikan tidak percaya apabila doktor memberitahu sudah tiba masa untuk melahirkan.

"Alhamdulillah dalam suasana panik itu, semua urusan dipermudahkan dan saya selamat melahirkan cahaya mata sulung pada jam 10.20 malam.

"Saya bersyukur kerana suami ada bersama ketika menempuh detik menguji itu," katanya.

Misha berkata, ketika ini, dirinya dan bayi dalam keadaan sihat namun berharap diberikan ruang kerana perlu memberikan tumpuan kepada anak yang dilahirkan pra matang itu.

"Alhamdulillah, tiada apa yang membimbangkan cuma saya berharap diberi sedikit ruang untuk menumpukan perhatian kepada bayi yang masih di bawah pengawasan doktor," katanya.

Misha dan Firroz yang juga seorang juruterbang diijabkabulkan pada 2 Mei 2014 di Kota Bharu, Kelantan.

Sebelum ini, pasangan itu memiliki dua anak angkat iaitu Muhammad Adam Emir, 10, dan Humaira Lateefa, 4.