Saat yang ditunggu pelakon comel, Nora Danish untuk membina bahagia sekali lagi akhirnya menjadi nyata. Nora, 35, disatukan dengan belahan jiwanya, Nedim Nazri, 34. di dalam satu majlis tertutup yang diadakan di Glasshouse at Seputeh dihadiri keluarga dan teman terdekat. Pasangan itu sah bergelar suami isteri kira-kira jam 8:37 malam dengan dua kali lafaz.

Nora berkata, dia bersyukur majlis berjalan penuh sederhana tetapi meriah.

My dream come true. I have been waiting for this moment to marrying my soulmate. Dia juga seperti impian saya yang menjadi realiti. Harap semua doakan kebahagiaan saya,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Pelakon filem Polis Evo dan Surga Yang Tak Dirindui 2 itu berkahwin buat kali kedua selepas lapan tahun bergelar ibu tunggal kepada seorang anak berusia lapan tahun iaitu Putera Rayqal Ramli. Nora sebelum ini pernah berkahwin pada 2006 dan berpisah dengan bekas suaminya, sekitar dua tahun selepas itu.

Nedim pula seorang duda anak satu. Dia dikatakan berpisah dengan bekas isteri pada tahun 2013.

“Saya dan Nedim pernah merasai majlis pernikahan dibuat besar-besaran, jadi untuk kali kedua ini biarlah kami bersederhana.

“Tidak semestinya majlis sederhana itu tidak meriah.

“Kami memilih cara ini juga kerana ia lebih peribadi dan intim," katanya.

Nora turut memberitahu dia dan suami juga bersedia untuk menimang cahaya mata lagi selepas ini.

"Rayqal pun memang sudah lama teruja dan kalau boleh, memang dia teringin untuk mempunyai adik. Dapat adik perempuan pun sudah memadai baginya. Maklumlah, di rumah, dialah satu-satunya budak kecil.

"Jadi, dia memang selalu suruh saya dapatkan adik untuknya. Paling lucu, dia meminta saya makan banyak supaya perut boleh membesar. Baginya, kalau berbadan besar itu bererti ada bayi dalam perut. Dalam bab ini, kalau saya melayan keletah dan perangainya, boleh ketawa sendirian.

"Sebagai ibu, saya faham perasaannya yang semakin membesar. Keinginan untuk memiliki adik sendiri adalah lumrah," katanya.