Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Payung Luncur Bergulung Dalam Awam Hitam, Tersedar Atas Tanah

Elrafaei Sapi
11/04/2017 04:02 MYT

Aktiviti sukan 'paragliding' atau luncur udara semakin digemari ramai yang gemar merasai pengalaman mencabar ketika berada di udara. Namun, pengalaman yang dilalui Mohammad Rosely Azli, 53, terselamat selepas hilang selama 24 jam ketika meluncur udara di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu, kelmarin suatu yang menarik untuk dijadikan pengajaran dan dikongsi bersama peluncur lain.

Menceritakan kembali detik kejadian, peluncur yang berpengalaman selama sedekad dan melakukan lebih 100 penerbangan termasuk luar negara ini menyatakan dia gagal mengawal payung luncurnya selepas berpatah balik pada ketinggian 426 meter dan memasuki awan hitam yang menyebabkan payungnya bergulung sehingga diterbangkan pada ketinggian yang lebih tinggi.

Akuinya seperti dilaporkan Sinar Harian, payung luncurnya seolah ditarik sehingga dia berasa sesak nafas akibat udara nipis dan ketulan ais seperti hujan yang pada anggapannya kejadian seumpama itu berlaku pada ketinggian 3,500 meter. Dia bagaimanapun tidak sedarkan diri dan tersedar semula apabila berada di atas tanah di kawasan hutan.

Dia yang berjaya diselamatkan pasukan penyelamat pada petang semalam menyatakan perasaan bersyukur kerana masih bernyawa dan serik untuk meluncur udara lagi.

#Paragliding