Kerajaan Malaysia sentiasa prihatin terhadap nasib rakyat negara ini yang masih berada di Korea Utara dan mereka menjalani kehidupan seperti biasa di sana. Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung perkembangan terkini warganegara Malaysia yang berada di sana.

Dalam kebimbangan anggota keluarga dan masyarakat terhadap rakyat Malaysia di negara itu, Najib memberi jaminan beliau akan memantau dan memberikan maklumat terkini mengenai warganegara kita di sana termasuk susulan kes pembunuhan Kim Jong-nam yang juga abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Tegasnya, meskipun beliau tiada dalam negara kerana urusan lawatan rasmi selama lima hari ke India bermula hari ini, beliau boleh memberi arahan semasa dalam pesawat dan pihak berkuasa masih dapat menghubunginya 24 jam, katanya seperti dilaporkan Bernama.

Dalam pada itu, Najib dijadual melawat Chennai, New Delhi dan Jaipur termasuk menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) ketujuh serta bertemu Perdana Menteri India, Narendra Modi untuk bertukar idea dan perbincangan dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua negara.

Menariknya, laporan media antarabangsa juga menyatakan Najib akan bertemu dengan superstar filem Tamil, Rajinikanth yang sebelum ini pernah datang ke Melaka untuk menjalani penggambaran filem Kabali, dua tahun lalu. Merujuk Times of India melaporkan Najib akan bertemu dengan Ketua Menteri, Edappadi Palaniswami dan Gabenor, C Vidyasagar Rao untuk menerima ijazah Doktor Falsafah (Kehormat) dari sebuah universiti tempatan di sana.