UNDI TOP 5 GEMPAK MOST WANTED AWARDS SEKARANG!
News

Permaisuri Johor Titah Semua Murid Madrasah Tahfiz Al Jauhar Yang Dipukul Jalani Pemeriksaan Kesihatan

Elrafaei Sapi 25/04/2017 | 07:28 MYT
Kes murid Madrasah Tahfiz Al Jauhar, Kota Tinggi, iaitu Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, yang cedera akibat dipercayai di rotan pembantu warden sekolah itu menarik perhatian ramai yang bersimpati dengan nasib kanak-kanak itu.

Apa yang menjadi bualan di media sosial adalah bagaimana insiden itu boleh berlaku sehingga murid itu terpaksa dipotong kedua kakinya. Malah, apa yang lebih memilukan adalah doktor menyatakan darah beku pula berlaku di lengan kirinya.

Keadaan murid itu masih kritikal dan ditempatkan di Unit Dependensi Tinggi, Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Pembedahan tangan kanan murid itu yang dijalankan kelmarin untuk membuang darah beku menunjukkan hasil positif dan berkemungkinan besar dapat diselamatkan, seperti dilaporkan Utusan Online.

Sementara itu, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah pula menitahkan supaya semua murid di madrasah itu yang menerima hukuman dipukul di tapak kaki menjalani pemeriksaan kesihatan. Baginda yang turut menziarah Mohamad Thaqif Amin hari ini berharap tidak mahu tindakan lambat diambil jika berkemungkinan kes sama berlaku lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat pula berkata pada Harian Metro, pihak juga sudah berbincang dengan Jabatan Kesihatan negeri untuk melihat dan memantau keadaan madrasah tahfiz itu dari aspek kesihatan, kebersihan dan sebagainya.

#Madrasah Tahfiz
;