Jika ada yang tidak tahu, sistem operasi Android sebenarnya adalah hasil ciptaan Google Inc. dan versi pertamanya iaitu 1.5 digelar sebagai Android Cupcake.

Selepas mengecapi populariti dan digunakan oleh jutaan pengguna di seluruh dunia, Google kemudian melancarkan telefon pintar di bawah jenama Nexus.

Peranti ini dilancarkan setiap kali pengenalan sistem operasi baharu Android.

Nexus One dikeluarkan oleh HTC adalah telefon pertama di bawah siri Nexus dan ia dilancarkan pada tahun 2010. Paling popular bagi siri Nexus ini adalah Nexus 5 yang dihasilkan oleh LG.

Namun pada tahun 2016, Google membuat keputusan untuk menghentikan pengeluaran telefon pintar Nexus dan Nexus 6P adalah peranti terakhir di bawah siri itu.

Bagaimanapun pada Oktober 2016, Google membuat kejutan dengan mengumumkan telefon pintar pertama mereka menggunakan jenama Pixel.

Pixel disifatkan sebagai ‘baby’ pertama Google kerana hampir keseluruhan aspek peranti ini direka, dibangun dan dipasarkan sepenuhnya oleh Google.

Pixel generasi pertama mendapat sambutan yang agak baik tetapi masih tidak cukup menyerlah berbanding model jenama lain.

Bagaimanapun pada hujung tahun lalu, kemunculan Google Pixel 2 dan 2 XL nampaknya mula menunjukkan hasil dalam kalangan pengguna termasuk di Malaysia.

Malah, telefon ini boleh dianggap antara telefon pintar paling ‘hype’ berikutan keupayaan kameranya yang dikatakan terhebat ketika ini.

Selain mendapat markah tertinggi dalam ujian DxOMark iaitu setinggi 98 skor, keupayaan peranti ini menghasilkan imej ‘bokeh’ dengan hanya menggunakan satu lensa juga amat dikagumi.

Rojak Daily Skop! berpeluang menggunakan peranti ini dan menguji gambar yang dihasilkan. Adakah ia bagus atau hanya sekadar ‘hype’ semata-mata, anda harus boleh lihat sendiri hasil imej ini.

KAMERA TERPANTAS, PALING PINTAR!

Warna biru langit masih jelas biarpun memfokuskan pada bangunan.
Secara umumnya peranti ini menggunakan satu lensa 12.3 megapixel (MP) apertur f/1.8 dan 8 MP pada bahagian hadapannya.

Antara ciri utama pada lensa ini adalah keupayaan ‘machine learning’ untuk menghasilkan gambar mengikut situasi diperlukan. Google memang hebat dalam aspek perisian dan ia kini diaplikasikan ke dalam peranti ini.

Hasilnya, perisian pada kamera ini memang pintar! Kebanyakan gambar dihasilkan sangat jelas dan terang, malah warna dihasilkan juga seimbang dengan warna asal.

Namun, adakalanya warna terutamanya warna merah terlalu merah dan mungkin hasil daripada prosesan imej yang terlampau.

Secara keseluruhannya, gambar dihasilkan sangat tajam dan sedia untuk dimuat naik ke media sosial tanpa sebarang suntingan atau 'filter'.

Secara terperincinya, peranti ini bukan sekadar bergantung pada sensor kamera semata-mata sebaliknya prosesan imej turut memainkan peranan penting.

Menurut jurutera Google, imej yang dihasilkan perlu menjalani hampir 20 hingga 30 langkah sebelum imej akhir dihasilkan.

Berbanding sensor lain yang mengesan kesemua warna pada objek, sensor pada Pixel hanya menumpukan pada warna hijau, merah dan biru sahaja.

Proses peranti ini menghasilkan gambar berbeza dengan peranti lain.
Sensor ini bertindak mengesan hanya tiga warna ini bagi memisahkan atau menggabungkannya antara satu sama lain. Imej yang pada awalnya dihasilkan secara ‘mosaic’ kemudian akan melalui proses seterusnya seperti penajaman imej.

Anda boleh lihat warna makanan ini yang sangat terang dan jelas!

KEMAMPUAN 'HIGH DINAMIC RANGE' (HDR) PLUS

Keupayaan HDR Plus kamera ini amat laju.
Menyentuh aspek HDR Plus, kamera ini menjalankan tugasnya dengan mengambil 10 imej berbeza sebelum menggabungkan ia menjadi satu gambar.

Proses ini digambarkan seperti permainan ‘puzzle’ dimana perisian kamera akan memilih gambar berasingan untuk dicantumkan menjadi satu gambar.

Paling gelap pada bahagian yang sepatutnya gelap dan imej utama atau subjek akan diterangkan mengikut kesesuaian keadaan.

Sesetengah individu tidak menggemari imej yang diproses menggunakan kesan HDR.
Hasilnya, imej yang dihasilkan lebih jelas dengan kadar kontras yang diterima pandangan mata manusia.

Fungsi ini juga diapliksikan pada pengambaran pada waktu malam atau keadaan yang kurang cahaya. Hasilnya imej lebih terang!

Penggambaran malam juga amat baik tanpa 'noise' yang banyak.

HASIL 'BOKEH' MENAKJUBKAN

Hasil kesan bokeh yang kemas!
Tahun lalu menyaksikan setiap telefon pintar hadir dengan dua sensor kamera bagi menghasilkan kesan ‘bokeh’ atau ‘depth of field’.

Efek ini memfokuskan pada subjek imej dan pada masa sama mengaburkan imej di belakangnya. Kebanyakan peranti menggunakan lensa kedua untuk menghasilkan kesan ini.

Namun bagi Pixel 2, Google yakin mereka mampu menggunakan hanya satu lensa sahaja. Penyelesaiannya adalah gabungan machine learning’ dan ‘depth mapping’.

Peranti akan menyimpan kedua-dua imej sama ada bokeh atau tidak secara serentak.
Menurut Google, kamera akan belajar untuk mengenal identiti imej yang wujud sama ada ia manusia, haiwan, pokok atau objek.

Jadi, bagaimanakah perisian kamera mengenal pasti objek ini?

Jawapannya, ‘neural network’ telefon ini telah mempelajari hampir semua objek membabitkan berjuta sampel termasuk pelbagai kelakuan manusia.

Tidak kiralah individu terbabit memakai kaca mata, topi, ataupun sedang menjamu selera, semuanya direkodkan dalam perisian telefon. Malah, anda juga boleh menggunakan kesan 'bokeh' ini pada haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Hasil imej pada kamera depan mungkin akan membuatkan anda lebih kerap berswafoto!
Selain kamera utama, kamera depannya juga mampu menghasilkan kesan 'bokeh'.

Tanpa menggunakan dua sensor kamera atau sensor lain, imej yang dihasilkan sangat mengagumkan. Terdapat juga kelemahan terutamanya jika helaian rambut, namun ia tidaklah terlalu ketara.

Kelemahan di sini mungkin ketika keadaan yang kurang cahaya yang mana kamera gagal membezakan subjek dan 'background'.

TIDAK DIPASARKAN DI MALAYSIA

Google Pixel 2 hadir dengan dua variasi iaitu Google Pixel 2 bersaiz 5 inci dan juga Pixel 2 XL, 6 inci. Peranti ini bagaimanapun tidak dibawa masuk secara rasmi ke Malaysia.

Disebabkan itu harganya boleh dikatakan agak tinggi berbanding jenama lain. Google Pixel 2 dijual bermula RM3,599 ke atas manakala PIXEL 2XL dijual bermula lebih RM4,399 bergantung pada harga pasaran terkini.

Menariknya, anda tidak perlu bimbang dengan storan memori kerana Google menawarkan storan awan tanpa had menerusi Google Photo. Oleh itu, storan telefon anda sentiasa banyak.

Jika anda mahu membeli peranti ini, anda boleh rujuk beberapa kedai atau 'trusted seller' yang menjual Pixel 2 ini antaranya Paan Hanz, DBO, Techbug dan DirectD.