Jenama kereta nasional, Proton dijangka mengadakan kerjasama dengan jenama kereta antarabangsa dari Perancis, Peugeot susulan kunjungan Presiden negara itu, Francois Hollande ke sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan maklumat lanjut mengenai kerjasama tersebut masih belum diputuskan tetapi ia mempunyai kemungkinan untuk dilaksanakan. Pada Februari lalu, Peugeot sebelum ini turut berhasrat membeli saham dalam syarikat automotif negara itu, seperti dilaporkan Bernama.

Dalam pertemuan kali ini, Najib yang juga Menteri Kewangan menyatakan kedua pemimpin itu juga mengadakan perbincangan mengenai pelaburan perdagangan dua hala antara kedua negara yang mencecah sebanyak RM15.2 bilion dan Perancis adalah rakan perdagangan ke-18 terbesar dengan Malaysia.

Sementara itu, Najib menyatakan penghargaan pada Hollande kerana tidak bersetuju terhadap cadangan untuk mengenakan cukai terhadap minyak kelapa sawit dari negara ini yang menjadi galakan pada Malaysia. Perbincangan antara mereka juga menjurus pada aspek pelancongan dan pembangunan tenaga mahir.