Mat rempit sering dilabel sebagai sampah masyarakat, samseng jalan raya dan golongan pembawa bermasalah. Atas sebab itulah, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mencadangkan menukar gelaran 'mat rempit' kepada 'brother motor'.

Sultan Ibrahim menerusi laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar gelaran itu diubah supaya golongan ini dilihat lebih berdisiplin dan berhemah.

"Dengan ini, saya cadangkan nama mat rempit diubah kepada brother motor," titah Sultan Ibrahim ketika Majlis Pelancaran Malaysia Bike Week 2018 (MBW 2018) di MAEPS Serdang, Selangor pada Sabtu lalu.

Koleksi kenderaan dan motosikal berkuasa tinggi Tuanku Sultan Ibrahim antara yang menjadi tarikan sempena MBW 2018.

Video Sultan Ibrahim bertitah itu sudah mendapat 25 ribu tontonan dengan 532 perkongsian.

Antara lain, Sultan Ibrahim dalam titahnya juga turut mengingatkan brother motor supaya menghormati orang lain dan tidak menggunakan jalan raya sebagai litar lumba.