Sudah banyak kali kes sama berlaku di pelbagai lokasi tetapi perbuatan khianat membabitkan kejadian membakar motosikal penghuni di kawasan kediaman masih tetep berlaku. Kejadian terbaru membabitkan 14 motosikal yang musnah akibat dibakar di kawasan parkir di Blok B, Flat Padang Tembak, Air Itam, Pulau Pinang, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 1.30 pagi dan siasatan polis mendapati 12 unit motosikal terbakar sepenuhnya manakala dua unit lagi separuh terbakar dengan nilai kerugian dianggarkan tidak kurang RM25,000.

Advertisement
"Siasatan lanjut masih lagi dijalankan dan polis mengesyaki ia perbuatan khianat. Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati ada dua lelaki yang berkelakuan agak mencurigakan kelihatan di kawasan tempat kejadian sebelum kejadian berlaku. Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan setakat ini dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang turut hadir ke lokasi kejadian menyatakan insiden yang berlaku itu cukup mengejutkan dan mencetuskan rasa takut dan bimbang kepada penduduk di situ.
"Kita pandang serius apa yang berlaku dan tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu menyusahkan ramai pihak," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di talian 04-2181822 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.