UNDI TOP 5 GEMPAK MOST WANTED AWARDS SEKARANG!
News

Tiada kes Influenza A (H5N1) Selsema Burung Dikesan

Elrafaei Sapi 17/03/2017 | 02:35 MYT
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mendapati sehingga 15 Mac 2017, tiada kes Influenza A (H5N1) dalam kalangan manusia dikesan meskipun laporan Jabatan Veterinar Negeri Kelantan menyatakan terdapat pertambahan lokaliti baru yang positif H5N1 hasil daripada pemantauan sampel unggas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan lokaliti terbaru ini menjadikan sejumlah empat daerah didapati sampel unggas positif H5N1 iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Bachok.
"Sehubungan itu, JKN dan PKD berkaitan telah melaksanakan aktiviti pengesanan kes secara aktif dalam kalangan manusia dan pemantauan dalam lingkungan 300 meter radius dari tempat kejadian ayam mati/lokaliti yang positif H5N1 dalam kalangan unggas. Sehingga 15 Mac lalu, pemantauan dijalankan kepada 3,556 penduduk, 133 anggota kesihatan dan 117 anggota Veterinar & agensi lain.
"Hasil pemantauan tersebut mendapati 14 orang bergejala adalah negatif H5N1 dan telah diberikan rawatan antiviral. Aktiviti promosi kesihatan berkaitan penyakit selsema burung dipergiatkan di kawasan dalam lingkungan satu (1) km radius dari tempat kejadian ayam mati/lokaliti yang positif H5N1," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, sehingga kelmarin sebanyak 5,366 edaran risalah, 2,339 edaran Health Alert Card, 929 sesi perbincangan kecil membabitkan 3,214 penduduk, 1,526 sesi tunjuk cara bersama 3,685 penduduk, 200 nasihat individu, 88 hebahan awam,56 tampalan poster, 766 edaran 'hand sanitizer' dan lima ceramah dengan 1,269 kehadiran dilakukan dalam lingkungan satu kilometer dari tempat kejadian.
"Tanda-tanda dan gejala penyakit Selsema Burung adalah demam tinggi (melebihi 38 darjah celcius), sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi atau letih lesu. Orang ramai dinasihatkan agar segera mendapat rawatan di fasiliti kesihatan jika mengalami gejala dan terdedah kepada ayam/unggas mati yang disahkan positif atau kejadian unggas mati yang luar biasa.
"Amalkan pengendalian unggas yang baik seperti memakai penutup mulut dan hidung, sarung tangan, apron dan kasut but. Bagi penyembelih ayam, penjual ayam dan pemproses daging ayam, mereka hendaklah juga sentiasa memakai penutup mulut dan hidung (mask), apron, sarung tangan getah/plastik dan kasut but getah yang kalis air dan amalkan tabiat membasuh tangan dengan air yang bersih dan sabun.
"Orang awam dinasihatkan agar tidak mendekati/menguruskan bangkai ayam mati khususnya di kawasan wabak. Sebaliknya hendaklah memaklumkan segera kepada Jabatan Haiwan yang berhampiran. KKM mengambil maklum keresahan orang ramai dan ada menerima pertanyaan sama ada ayam di negeri tersebut selamat dimakan.
"Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ayam dan hasilan ayam adalah selamat dimakan sekiranya ia dimasak sempurna iaitu pada suhu melebihi 70 darjah celcius kerana virus H5N1 akan musnah pada suhu tersebut. Sehubungan itu, WHO menyarankan supaya ayam dan hasilan ayam disediakan dalam keadaan bersih dan dimasak pada suhu secukupnya. KKM akan terus bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan semua agensi berkaitan dalam menangani kejadian H5N1 dalam kalangan unggas ini," katanya.
#Selsema Burung
;