NEWS
Tiga Pulau di Phuket, Thailand Ditutup!
Buat anda yang merancang untuk bergembira di Phuket, Thailand dalam masa terdekat ini, tiga pulau di Thailand telah pun ditutup kepada para pelancong kerana masalah ekosistem. Tiga pulau tersebut adalah Koh Khai Nai, Khai Nok dan Khai Nui.

Gambar: semplicephuket.com
Pihak berkuasa Thailand menyalahkan jumlah kehadiran pelancong yang tinggi sehingga telah menjejaskan pulau-pulau tersebut. Antara masalah utama ekosistem yang berlaku adalah kerosakan terumbu karang akibat daripada sampah dan sisa makanan dibuang sesuka hati serta sisa petrol dari bot-bot laju yang telah meresap ke dalam laut.
Terumbu karang menjadi tarikan para pelancong yang gemarkan aktiviti snorkeling dan meyelam, dan sejak berlakunya masalah ini, 80% terumbu karang di kawasan pulau-pulau berkenaan telah musnah.
Menurut Jabatan Sumber Laut dan Pantai, pulau-pulau itu menyaksikan sekurang-kurangnya 60 buah bot laju menjalankan aktiviti ini setiap hari. Restoran dan kedai juga banyak dibuka berikutan peningkatan kedatangan pelancong yang meluangkan masa hampir tiga jam sehari untuk melakukan aktiviti snorkeling dan memberi makanan kepada ikan.

Gambar: www.phuket.com
Tidak hanya berpunca daripada itu, aktiviti bot berlabuh di tepi laut, pelancong berjalan di atas karang sambil bermain air dan pelancong yang suka mengutip karang untuk dijadikan cenderahati turut menjadi punca masalah ekosistem tumbuhan ini.
Jadi jika anda ke Phuket, bolehlah pergi ke pulau-pulau yang lain kerana tarikh pembukaan semula tiga pulau ini masih belum diketahui.
Must-Watch Video