Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes bakal mempunyai tempat di dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) namun masih samar-samar mengenai jawatan yang bakal dicalonkan kepadanya.

Sememangnya seorang yang mencintai sukan bola sepak, beliau menegaskan sedia untuk membantu membangunkan bola sepak negara.

Menurutnya, “Tidak semestinya saya perlu jadi Presiden FAM. Ada banyak peranan lagi. Mungkin ada calon yang lebih baik untuk memegang jawatan itu. Kita komited kepada bola sepak Malaysia. Apa sahaja jawatan saya dapat, jika saya dapat, saya tidak kisah. Kita lihat siapa yang mahukan saya, lihat jika saya boleh menyumbang.”

Membantu membangunkan bola sepak negara adalah sesuatu yang amat diinginkannya. Ahli perniagaan dan juga pemilik kelab Liga Perdana Inggeris Queens Park Rangers (QPR) itu mahu membawa pengalaman yang dipelajarinya dari England, termasuk mendapatkan bakat-bakat baharu. Beliau mahu menggunakan pengalaman itu di Malaysia, menubuhkan Akademi bola sepak AirAsia serta pasukan AirAsia FC.

Kerusi Presiden FAM mula menjadi persoalan selepas Tengku Abdullah Sultan Ibrahim mengumumkan hasrat untuk melepaskan jawatan yang disandang sejak 2014.

Seorang lagi tokoh korporat, Datuk Seri Idris Jala turut disebut bagi mengisi jawatan tersebut.

Sumber: Mstar