PMTepiKakGee
#PMTepiKakGee: Jiran Belakang Rumah Meninggal Sebab COVID 19, Mak & Bapa Masih Anti Vaksin
Soalan
Kak Gee, saya buntu dan sangat sedih sehingga tidak tahu mahu mengadu kepada siapa. Saya harap luahan saya ini bukan sahaja mendapat respons Kak Gee tapi pembaca yang membaca.
Tolong saya yakinkan kepada ibu bapa yang telah berusia lebih 70 tahun untuk mengambil suntikan Vaksin COVID 19. Mereka berdua terpengaruh dengan cakap cakap tak benar tentang kesan negatif suntikan COVID 19 yang kononnya boleh bawa maut. Sehingga saya bergaduh dan dimarahi hanya kerana saya telah mendapatkan suntikan vaksin COVID 19 yang pertama.
Kak Gee, saya sedih sebab jiran sebelah rumah, seluruh keluarga kena COVID 19 sampai masuk hospital. Jiran belakang rumah pula, bapa mereka meninggal sebab COVID 19 sementara seorang anak perempuan masih kritikal di hospital.
Walaupun sudah ada contoh bahawa COVID 19 ini benar, kedua ibu bapa saya tetap bertegas untuk tak buat apa apa. Saya sedih. Sekurangnya kalau mereka ambil suntikan vaksin saya lega. Tapi mereka menentang keras sehingga saya tidak boleh menasihati dan memujuk mereka lagi.
Yang Benar,
Adik Buntu
Jawapan
Hi Adik Buntu. Kak Gee harap dengan meluahkan perasaan anda, sekurang kurangnya rasa gundah itu terubat.
Kak Gee faham, banyak dalam kalangan ibu bapa kita yang menentang vaksin. Sebenarnya Kak Gee rasa mereka ini bukanlah anti Vaksin, tapi hanya terpengaruh dengan cerita tak sahih yang disampaikan masa mereka ke surau, pergi beli makanan di warung ataupun dengan sebaran WhatsApp.
Memang tak dinafikan Kak Gee pun sempat rasa seram bila dengar kononnya ada yang meninggal dunia sebab darah bekulah, apalah selepas ambil Vaksin COVID 19. Namun sehingga hari ini Kak Gee tengok tak ada pun data yang kerajaan keluarkan mengenai berita tak sahih ini.
Adik Buntu, teruskan memujuk ibu dan bapa. Teruskan banyak berdoa. Kerana dengan doa mintalah mereka lembut hati untuk terbuka mengambil vaksin. Bukan sebab takut mati kerana COVID 19, atau percaya dengan ambil vaksin tak akan mati sebab virus ini.
Tapi sebab sekurangnya mereka berusaha melindungi diri daripada virus yang kita tak tahu bila akan berakhir ini. Dedahkan mereka dengan cerita yang positif atau baik baik tentang ambil vaksin.
Setiap penyakit kan ada penawar. Dan minta mereka jangan cepat terpengaruh. Kak Gee berdoa agar ibu dan bapa anda terbuka hati untuk mendapatkan suntikan vaksin. Daftar segera kerana warga emas pasti didahulukan.
Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!
Must-Watch Video