Skop
185,541 Kadet Bomba Bersiap Siaga
Pembabitan pelajar sekolah dalam persatuan beruniform memberi banyak kelebihan pada mereka untuk disiplin diri, memahami tugas dan tanggungjawab. Begitu juga, seramai 185,541 pelajar dari 1,462 buah sekolah di seluruh negara yang menyertai Kadet Bomba menjalani program kebombaan kelolaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sejak Januari lalu.
Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, program itu sejajar dengan hasrat kerajaan dalam melahirkan modal insan yang cemerlang kepada masyarakat.
"Pelajar terlibat diberikan pendedahan kepada aspek kebombaan, kebakaran dan keselamatan. Mereka dapat bertindak lebih awal terhadap suatu insiden tidak diingini jika berlaku seperti kebakaran, kemalangan jalan raya dan kemalangan," katanya ketika berucap pada Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia Peringkat Kebangsaan Ke-27 yang berlangsung selama empat hari dari 17 hingga 20 Mei lalu di Rantau, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Majlis tersebut dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan. Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis; Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Rusni Abdul Jalil.
Wan Mohd berkata, program kebombaan turut memupuk nilai-nilai positif dalam kalangan pelajar sekolah seperti mendorong mereka untuk menjadi cekal dan mempunyai semangat menolong insan lain.
Tambahnya, program Kadet Bomba dilaksanakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan sejak tahun 1986.
Must-Watch Video