Dalam usaha mengembangkan lagi perniagaan atas talian ke pasaran global dengan mempromosikan produk keluaran tempatan, lebih 23,000 ahli Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM) bakal memperolehi manfaat menerusi kerjasama dengan PG Mall.
Presiden PUIM, Mohd Azrul Mohd Nor berkata, usaha mencari hala tuju serta rangkaian niaga usahawan atas talian mampu memperluaskan peniagaan menerusi platform terbaru dalam pasaran e-dagang. Kerjasama ini membabitkan Public Gold Marketing Sdn Bhd (Public Gold) menerusi platform laman beli-belah dalam talian PG Mall.

Advertisement
Tambahnya, kerjasama terbaru ini memperkasakan perniagaan atas talian bukan sahaja pada produk kraftangan tetapi baju, kasut, beg tangan, barangan elektrik dan lain-lain.
"Ini kerana PG Mall memiliki kira-kira 100,000 jenis produk dan kesemuanya adalah produk tempatan berjaya menarik minat PUIM berkerjasama untuk bantu ahli-ahli di seluruh negara. Ketika ini lebih 2,000 ahli PUIM sudah berdaftar bersama PG Mall dan kami menyasarkan lima sehingga 10 peratus peniaga baru atas talian berdaftar dalam tempoh antara tiga hingga empat bulan akan datang," katanya ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Menandatangani Rakan Niaga antara PG Mall dan PUIM di Pusat Perniagaan Public Gold, Bayan Lepas, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Public Gold, Datuk Louis Ng, Naib Presiden PUIM, Zainal Rashid Isa dan Pengarah Kumpulan Public Gold, Datin Yvoone Lim.

Terokai pasaran luar
Mohd Azrul menambah, kerjasama antara PUIM dan PG Mall tercapai apabila kedua mempunyai matlamat sama iaitu memasarkan produk tempatan agar lebih popular. Selain mewujudkan rangkaian niaga yang lebih mantap dan maju pihaknya ingin menyuntik kesedaran dalam kalangan usahawan dan peniaga untuk merebut peluang niaga atas talian yang disediakan PG Mall yang memiliki satu sistem jaringan komuniti yang cukup besar.
"Setiap peniaga berpeluang melebarkan sayap perniagaan mereka bukan setakat di Malaysia tetapi di Brunei, Singapura dan Indonesia manakala PG Mall juga menyediakan platform pengiklanan yang cukup terbaik kepada peniaga-peniaga di seluruh negara," katanya.
Sementara itu, Louis berkata, menerusi platform laman beli-belah dalam talian PG Mall, pihaknya menyasarkan tiga kedudukan utama dalam pasaran e-dagang negara. Selain menawarkan platform terbaik untuk peniaga memasarkan produk mereka di atas talian, fokus utama PG Mall adalah memperkenalkan barangan buatan Malaysia dan kraftangan tempatan ke pasaran global.
"Kerjasama yang terjalin antara PG Mall dan PUIM mampu mengembangkan lagi produk keluaran tempatan di pasaran luar negara," katanya.